Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian

WALAUPUN telah disangkal dengan data dan bukti sains, namun kebimbangan orang ramai terhadap vaksin AstraZeneca bahawa ia mendatangkan kesan sampingan sehingga mengakibatkan kematian heboh diperkatakan.

Ia sekali gus membawa kepada keputusan kerajaan untuk menawarkannya secara sukarela menerusi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas dalam masa terdekat.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin turut mengumumkan pembukaan sistem tempahan untuk membuat janji temu berdasarkan kaedah first come, first serve tidak lama lagi.

Pada masa sama, Khairy memaklumkan agihan dos vaksin AstraZeneca turut ditawarkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Walau bagaimanapun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian dilaporkan menolak tawaran itu.

Sebaliknya, beliau memberi jaminan bahawa tiada vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca akan digunakan di negeri tersebut.

“Bagi yang mahu disuntik vaksin AstraZeneca, mereka boleh mendapatkannya di pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Bukannya di Sarawak,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Baca artikel berkaitan: Vaksin AstraZeneca hanya ditawar secara sukarela – Khairy

Semalam, Khairy dalam sidang akhbar perkembangan PICK memberitahu telah pun mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi menyediakan PPV khas bagi melaksanakan proses pemberian vaksin AstraZeneca itu.

Menurut Khairy, buat permulaan sebanyak 268,600 dos AstraZeneca akan dibuka di Selangor dan Kuala Lumpur selepas mengambil kira peningkatan kes di dua negeri berkenaan.

“Saya juga telah berbincang dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah supaya dos kedua vaksin ini diberikan selang 12 minggu bagi membolehkan lebih ramai mendapatkan vaksin tersebut.

“Kita jangkakan bekalan tambahan AstraZeneca akan sampai bulan Mei ini untuk kita berikan dos kedua,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram