Ketika berucap di Tangkak, kelmarin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui pandemik Covid-19 merupakan cabaran paling sukar untuk diuruskan meskipun sudah berpuluh tahun beliau menjadi pemimpin dalam kerajaan yang berbeza-beza.
‘’Saya berada dalam banyak kerajaan, tuan-tuan tanya apa kerajaan, semua saya dah ada , tetapi tak pernah saya saksi apatah lagi menanggung beban sebagaimana saya hadapi pada hari ini. Ini (Covid-19) urusan pertama saya sejak awal saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.’’
Bukan kata Muhyiddin malah pemimpin di seluruh dunia kini berhadapan dengan pandemik tersebut. Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun pun buntu dalam menangani pandemik yang dianggap luar biasa tersebut.
Tetapi cabaran Perdana Menteri jauh lebih sukar berbanding dengan pemimpin-pemimpin lain. Ia disebabkan terlalu banyak kritikan dan persepsi diwujudkan oleh musuh-musuh politik bagi menggambarkan bahawa kerajaan gagal untuk menangani pandemik tersebut. Buat la apa sahaja semuanya tidak betul pada kaca mata mereka.
Dari soal PKP, Darurat hinggalah dana bagi membeli vaksin, semuanya akan menjadi sasaran ‘serangan’ puak-puak yang merasakan hanya mereka sahaja lebih bijak untuk menangani pandemik itu.
Apabila kerajaan melaksanakan PKP, mereka menganggap ia boleh menjejaskan ekonomi rakyat,apabila dilonggarkan mereka mengatakan pula ia ‘separuh masak’.
Kemudian mereka mempertikaikan kenapa Darurat yang dilaksanakan tidak mampu menurunkan kadar kes baharu dan mempersoalkan kenapa dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) digunakan.
Ketika mereka begitu lantang menuduhkan kerajaan mempolitikkan Covid-19 bagi mengekalkan kuasa, tindak tanduk mereka sendiri bagaikan ‘anak jantan berkokok kuat tapi ekor bergelumang dengan najis!’
Penulis tersenyum apabila membaca komen seorang pemimpin kanan UMNO dalam media sosial yang mempertikaikan adakah kerajaan akan mengikut nasihat Kumpulan Pakar Penasihat Sains dan Kesihatan Covid-19 yang mencadangkan terdapat keperluan segera supaya kerajaan melaksanakan PKP bersasar bagi membendung gelombang keempat pandemik.
Sambil mendakwa syor itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri, pemimpin tersebut mempersoalkan siapakah yang mengawal pakar-pakar ini?
Hujah beliau, sudah tentu pakar itu datang daripada mereka bukan daripada rakyat bawahan?
Apabila dilaksanakan semula PKP kata pemimpin itu, kemarahan rakyat akan memuncak kerana pergerakan kembali terbatas, sukar untuk bekerja dan mencari pendapatan.
Penulis tertanya-tanya adakah pemimpin tersebut faham atau tidak, maksud PKP bersasar atau pada pemahaman beliau maksud cadangan pakar-pakar tersebut adalah PKP penuh atau total lockdown?
Kalau nak bercakap soal PKP Bersasar, ia sudah pun dilaksanakan di Kelantan ketika ini yang mana ia dilanjutkan sehingga 17 Mei ini.
PKP bersasar dilaksanakan apabila sesuatu negeri, mukim atau daerah itu menunjukkan peningkatan kes yang mendadak atau diisytiharkan zon merah.
Dan soal melaksanakan PKP semula atau ‘total lockdown’ penulis percaya ia tidak ada dalam perancangan kerajaan.
Masihkah kita ingat pada 4 Februari lalu, Muhyiddin dalam perutusan khas Situasi Terkini Covid-19 menyatakan, kerajaan hanya menguatkuasakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco) di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.
“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.
“Saya percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan kita akan membolehkan kita menangani penularan Covid-19 tanpa perlu kita menutup sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Justeru tidak perlu mana-mana pemimpin cuba mahu menjadi pembela rakyat tidak bertempat sehingga melupakan fakta apatah lagi membuat catatan yang mengelirukan rakyat.
Begitu juga dalam soal penggunaan dana KWAN. Bukan kerajaan Malaysia sahaja yang terpaksa menggunakan dana seumpama itu bagi menangani Covid-19 malah negara-negara lain juga terpaksa melakukan langkah yang sama akibat pandemik tersebut.
Kalau nak faham lebih lanjut rajin-rajinlah baca artikel-artikel berikut;
https://www.straitstimes.com/singapore/budget-2021-singapore-to-dip-into-reserves-for-second-year-to-fund-11-billion-covid-19
https://www.theedgemarkets.com/article/frankly-speaking-between-rock-and-hard-place?type=malaysia
https://resourcegovernance.org/blog/how-have-governments-resource-rich-countries-used-their-sovereign-wealth-funds-during-crisis
Dan jangan lupa ketika pemimpin-pemimpin tertentu termasuk pembangkang begitu ghairah menuduh kerajaan menjarah dana KWAN, masihkah kita ingat bagaimana pada 22 Mac 2020, seorang ‘penasihat’ berkata;
‘’Pada waktu kecemasan beginilah masanya untuk kita berbelanja untuk rakyat, dan gunakan simpanan negara seperti Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang berjumlah hampir RM 17 bilion, dan rizab negara yang melebihi RM400 bilion.
‘’Apa gunanya menyimpan sehingga beratus bilion ringgit jika tidak mahu menggunakannya semasa kecemasan sebegini? Inilah fungsi simpanan.’’
Sekarang apabila kerajaan menggunakan dana KWAN, mereka buat bising pula dengan mempersoalkan macam-macam. Berilah penjelasan macam manapun mereka tetap cuba mempolitikkannya.
Paling buruk sekali, jumlah kes pun mereka persoalkan sama ada betul atau tidak. Cara mereka berhujah seolah-olah jumlah kes yang kembali meningkat ini adalah ‘rekaan’ kerajaan semata-mata.
Gambaran yang menjuruskan ke arah itu amat berbahaya justeru Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr.Adham Baba pada sidang akhbar semalam menegaskan, semua data dan laporan analisis harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung Covid-19 adalah data yang sahih, tepat dan telah diverifikasikan di pelbagai peringkat kementerian itu.
Data-data Covid-19 di Malaysia kata beliau dikendalikan mengikut prosedur-prosedur tertentu bagi memastikan data yang dilaporkan adalah tepat dan sahih.
Adakah mereka akan menerima penjelasan ini? Belum pasti! Yang pasti setiap hari mereka akan mencari apa sahaja isu yang bertujuan memberikan gambaran kepada rakyat bahawa kerajaan gagal menangani Covid-19 dan melakukan banyak tindakan menyusahkan rakyat. Itu sahaja.
Justeru dalam keadaan Covid-19 kembali ‘mengganas’ adalah lebih baik tumpuan diberikan bagi meningkatkan lagi usaha memerangi pandemik itu. Biarlah rakyat menilai apa yang kerajaan lakukan.
Yang dok bising kat dalam media-media sosial dengan pelbagai kenyataan mempertikaikan usaha kerajaan…biarkan sahaja…lagipun apa lagi kerja mereka ada apabila sudah tidak ada kuasa atau tidak berada dalam kerajaan!
Kerajaan jangan tergugat dengan ‘hiruk pikuk’ ibarat tin kosong itu, teruskan usaha menyelamat nyawa rakyat dan memulihkan negara daripada Covid-19…itu lebih penting!

