ORANG ramai yang berminat untuk mendapatkan suntikan vaksin AstraZeneca boleh mula melakukannya sebaik sahaja tempahan bagi janji temu dibuka mulai 12 tengah hari esok.
Tempahan itu akan mula dibuka menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my dengan berdasarkan kepada kaedah first come, first served.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, orang ramai hanya perlu mendaftar dan memilih pusat pemberian vaksin (PPV) serta tarikh janji temu bagi memperoleh suntikan.
Setelah memilih PPV dan tarikh, kata Khairy, sesiapa yang mendaftar itu akan diberitahu mengenai masa vaksinasi menerusi aplikasi MySejahtera atau melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Beliau berkata, proses janji temu pertama ditetapkan pada Rabu depan iaitu 5 Mei 2021.
Baca artikel berkaitan: Vaksin AstraZeneca hanya ditawar secara sukarela – Khairy
“PPV yang ditetapkan bagi vaksin AstraZeneca ini adalah di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

“Ini adalah satu-satunya cara untuk memperoleh vaksin AstraZeneca dengan berita mengenai hospital tertentu yang mengambil tempahan vaksin ini adalah tidak benar.
“Proses ini terbuka kepada 268,000 orang pertama bagi warga Kuala Lumpur dan Selangor yang mendaftar di laman web. Sekiranya berjaya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) akan melancarkan program ini ke negeri lain bergantung kepada penghantaran AstraZeneca,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya hari ini.
Rabu lalu, Khairy mengumumkan vaksin jenis AstraZeneca akan ditawarkan secara sukarela menerusi PPV khas mengambil kira kegusaran rakyat berhubung beberapa kes yang tular dalam media sosial.
Kata Khairy, ia sekali gus menjadikan vaksin keluaran United Kingdom itu tidak akan digunakan dalam PICK dengan program tersebut ketika ini hanya menggunapakai Pfizer-BioNTech dan Sinovac.
Buat permulaan, Khairy berkata, agihan sebanyak 268,600 dos AstraZeneca itu akan dibuka di Selangor dan Kuala Lumpur selepas mengambil kira peningkatan kes di dua negeri berkenaan.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

