Pas bidas media putar belit kenyataan Mufti Wilayah, sokong ‘hukum haram’ rentas negeri

0
417
pas mufti
DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong kenyataan Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr. Luqman Abdullah (kanan) berkenaan ‘hukum haram’ rentas negeri

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong kenyataan Mufti Wilayah Persekutan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkenaan ‘hukum haram’ rentas negeri yang tular baru-baru ini.

DUPP bagaimanapum membidas laporan portal berita yang diputar belit itu, tidak diambil daripada sidang media atau kenyataan rasmi Dr. Lukman tetapi hanya dipetik daripada keratan kenyataan beliau dalam bual bicara di UKM.

Dengan tajuk berita yang tidak bertanggungjawab dan menyimpang, kenyataan tersebut disalahertikan. Mufti tidak memaksudkan ‘pengharaman’ rentas negeri itu sepertimana maksud buruk yang disensasikan oleh pihak-pihak media, kata DUPP dalam satu kenyataan hari ini.

Berikut ialah kenyataan media DUPP:-

KENYATAAN MEDIA
DEWAN ULAMA’ PAS PUSAT (DUPP)
1 Mei 2021M / 19 Ramadan 1442H

KEBENARAN BERSYARAT RENTAS NEGERI, ITU MAKSUD S.S. MUFTI

  1. Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP) menyokong kenyataan Mufti Wilayah Persekutan, Al-‘Allamah Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah berkenaan ‘hukum haram’ rentas negeri yang tular baru-baru ini.
  2. Kenyataan daripada portal berita yang diputar belit itu, tidak diambil daripada sidang media atau kenyataan rasmi S.S. Mufti sendiri, malangnya diambil daripada keratan kenyataan beliau dalam bual bicara di UKM.
  3. Dengan tajuk berita yang tidak bertanggungjawab dan menyimpang, kenyataan tersebut disalahertikan. S.S. Mufti tidak memaksudkan ‘pengharaman’ rentas negeri itu sepertimana maksud buruk yang disensasikan oleh pihak-pihak media.
  4. Pertama, hukum larangan tersebut berkait cegahan untuk keluar atau masuk ke tempat yang dilanda wabak menular. Perkara ini akan menyebabkan penularan wabak tersebut tidak dapat dibendung. Hal berkaitan ini yang dilarang dan dicegah. Perkara ini bertepatan dengan hadith Rasulullah S.A.W.:
    (( إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا
    فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا ))
    “Jika kamu mendengar wabak Taun di suatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke tempat itu. Jika kamu berada di tempat yang dilanda wabak Taun itu, maka jangan pula kamu keluar daripadanya.”
    Sahih Al-Bukhari, 7/130/5728.
  5. Larangan ini juga diaplikasikan daripada Kaedah Fiqhiyyah (Rules of Jurisprudence), juga dari hadith Rasulullah S.A.W.:
    (( لا ضَرَر ولا ضِرار ))
    “Tidak mudaratkan (diri sendiri), dan tidak memudaratkan (orang lain)”
    Sunan Ibn Majah, 4/27/2340.
    Kaedah rujukan ini menjadi antara prinsip utama dalam agama Islam yang bukan sahaja menjaga kepentingan diri semata, tetapi juga kepentingan orang lain.
  6. Kedua, sebab larangan merentas negeri tersebut berkait dengan penipuan surat kebenaran dan pemalsuan dokumen hanya semata-mata untuk merentas negeri. Pemalsuan dan penipuan itu yang salah dan dicegah. Perkara ini sejajar dengan sabdaan junjungan Rasulullah S.A.W. dalam hadith Baginda:
    (( مَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا ))
    “Barangsiapa yang menipu, maka dia bukan dalam kalangan kami.”
    Sahih Muslim, 1/69/101.
    Sekiranya mendapat kebenaran rentas negeri yang asli dan tulen dari pihak berwajib, maka ianya dibolehkan dengan syarat-syarat tertentu.
  7. Ketiga, sebab larangan ini berkait dengan kaedah Fiqhul Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan / Jurisprudende of Priorities) iaitu:
    (( تقديم المصلحة العامة على المصلحة الخاصة ))
    “Mengutamakan kepentingan orang ramai lebih utama berbanding kepentingan peribadi.”
    Hal ini merupakan peri penting utama di dalam asas-asas agama Islam. Islam sebuah agama yang rasional, mendahulukan kebaikan yang akan diperolehi oleh komuniti yang lebih besar berbanding kelompok peribadi.
  8. Keempat, sebab larangan ini berkait dengan Siyasah Syar’iyyah (Legitimate Policy). Setiap perkara yang membawa kepada kebaikan agama, keselamatan negara serta kebajikan rakyat, boleh digazetkan, dikanunkan serta diwajibkan oleh pihak pemerintah ke atas rakyat, selagimana ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak. Setiap perkara harus dan ijtihadi (pilihan keputusan) mesti dipertimbangkan atas timbangan maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan).
  9. Apatah lagi larangan dan cegahan ini dikeluarkan oleh seorang Mufti dari agensi Kerajaan keatas Mustafti (orang yang meminta fatwa) iaitu masyarakat awam.
  10. Kenyataan larangan merentas negeri ini tidak ada kaitan dengan cegahan untuk berbuat baik kepada ibu bapa, menyantuni anak dan isteri, mencari rezeki yang halal dan perkara-perkara lain. Kesemua ini ialah perkara yang sangat berbeza maksud dan perkaitannya serta tidak disentuh oleh S.S. Mufti.
  11. Justeru, Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP) menggesa seluruh netizen dan rakyat Malaysia untuk menghentikan sebarang bentuk cacian dan herdikan tidak berasas ke atas Mufti, ‘Alim ‘Ulama dan juga Institusi Agama yang akhirnya mengundang dosa apatah lagi di sepuluh terakhir bulan Ramadan.
  12. Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP) juga menyelar budaya membaca tajuk berita semata tanpa usul periksa terhadap isi dan objektif penulisan. Pembudayaan yang telah berakar umbi dalam kalangan rakyat Malaysia ini merupakan budaya yang buruk serta bertentangan dengan prinsip Tabayyun (identify) dan prinsip Tathabbut (verify) yang digagaskan dalam Al-Qur’an, Surah Al-Hujurat, ayat 6.
  13. Pesanan Rasulullah S.A.W.:
    (( مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ ))
    “Barangsiapa yang tidak meninggalkan ucapan keji serta perlakuan keji, maka Allah tidak memerlukan dia untuk (terus) meninggalkan makannya dan minumnya (berpuasa).”
    Sahih Al-Bukhari, 3/26/1903.
  14. Kesimpulannya, hukum larangan rentas negeri serta kebenaran bersyarat yang dinyatakan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah itu berasas dan bertepatan dengan kehendak syarak.
  15. Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP) berharap agar kita semua sebagai rakyat Malaysia yang penuh tatasusila, untuk terus menjaga adab dan akhlak kita bersama. Tapis berita sebaiknya sebelum disebarkan, tanpa ditipu sensasi permainan perkataan pada tajuk berita semata. Fokus pada peningkatan jati diri kita dengan merebut sepenuhnya peluang keemasan di sepuluh terakhir bulan Ramadan ini.
    “Ulama’ Perteguh Muafakat”
    “Islam Memperkukuh Perpaduan”
    YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
    Ketua Penerangan,
    Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP)