TENAGA Nasional Berhad (TNB) menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pengarang kanan media di ibu negara baru-baru ini.
Dalam majlis di Ibu Pejabat TNB Jalan Bangsar itu, pengurusan tertinggi TNB disertai Pengerusinya sendiri, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Yang hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din serta kira-kira 40 pengarang kanan media dan wartawan dari pelbagai organisasi.
Sementara itu, dalam ucapannya, Mahdzir berkata, hubungan TNB dan media tidak boleh dipisahkan dalam apa jua keadaan, baik ketika ingin menyampaikan berita baik ataupun melaporkan kejadian yang tidak diingini.
“Hubungan yang wujud ini adalah satu ikatan yang perlu dieratkan dan dikekalkan, kerana menerusi pelaporan rakan-rakan media, banyak isu-isu berkaitan bekalan elektrik yang menjadi kebimbangan rakyat dapat diperjelaskan,” katanya.
Majlis Iftar Pengurusan Tertinggi TNB Bersama Pengarang Kanan Media itu berlangsung pada 4 Mei lalu.
Jelas Mahdzir yang genap setahun menjadi Pengerusi TNB, sebagai syarikat GLC yang bertanggungjawab terhadap bekalan elektrik, TNB menghadapi pelbagai cabaran demi menjamin kelancaran operasi 24 jam untuk manfaat rakyat.
“Sepanjang setahun menjadi Pengerusi TNB, saya menyaksikan kegigihan warga kerja menjamin kestabilan seluruh rantaian pembekalan bermula daripada penjanaan hinggalah kepada pelanggan di bandar, pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dalam ucapannya pula berharap hubungan antara TNB dan pengamal media dapat diperkukuhkan memandangkan terdapat persamaan operasi tanpa henti kepada masyarakat.
“Saya berpendapat bahawa TNB dengan media tidak boleh dipisahkan, kerana kewujudan TNB adalah sepanjang masa, 24 jam dari pagi sampai ke petang, malam dan keesokan harinya.
“Penyampaian perkhidmatan bekalan elektrik ini, sebati dengan dunia kewartawanan yang anda terajui,” katanya.
Baca artikel berkaitan: [VIDEO] TNB sasar pasang meter pintar semua pengguna 2026
Lebih 40 pengarang kanan dan wartawan media cetak dan elektronik hadir pada majlis itu yang diadakan bagi menghargai peranan media sepanjang perjalanan TNB memacu pembangunan negara.
Antara agensi media yang hadir termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Utusan Malaysia, Kosmo!, Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times, Sinar Harian, Astro Awani, RTM, TV3, The Malaysian Reserve, Malaysia Gazzette, UtusanTV dan Dagang News.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

