ismail
ISMAIL SABRI YAAKOB

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

IBARAT bermain bola sepak, jikalau kalah, mana mungkin seorang sahaja pemain yang diletakkan sebagai punca pasukan itu kecundang?

Iyalah, bermain secara berkumpulan pastinya ramai pihak yang harus bertanggungjawab dalam pasukan tersebut.

Malah Tuan Pengurus juga akan turut sama dikaitkan dengan pasukan yang mengalami kekalahan atau prestasi merudum.

Oleh sebab itu, tidak adil untuk meletakkan semua kesalahan di atas bahu seorang pemain atau individu tertentu.

Jika penyerang pasukan tidak dapat menjaringkan gol, pasti ada kelemahan di bahagian tengah yang tidak berjaya merencana gerakan serangan dengan baik.

Begitu juga dengan situasi atau senario negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Mana mungkin meletakkan semua kesalahan di atas bahu pemimpin yang dilihat telah berkerja keras memastikan kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini bebas daripada wabak Covid-19.

Pastinya tidak wajar sekadar menyalahkan Datuk Seri Ismail Sabri atau Pak Long Mail bersendirian di atas segala kenyataan atau peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Kenyataan yang dibuat oleh beliau adalah persetujuan bersama daripada semua pihak berwajib di dalam kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini.

Banyak pihak terlibat dalam membuat keputusan penting terutama dalam pengumuman penting Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang terlibat secara langsung, banyak pihak lain juga berperanan menentukan segala keputusan termasuk permintaan daripada pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Kerajaan Negeri.

Sememanganya akan ada ‘pro and contra’ di dalam semua tindakan yang diambil oleh kerajaan.

Jika dilaksanakan PKP secara berpanjangan, pastinya ekonomi negara dan pendapatan individu akan terjejas. Namun setelah dilonggarkan, ternyata bilangan kes harian Covid-19 meningkat.

Maka salah siapa? Dimana gagalnya Malaysia melawan dengan Covid-19 ini?
Undang-undang Penyakit Berjangkit sudah ada, malah Ordinan Darurat sudah termaktub.

Segala macam SOP sudah dirangka dan dilaksanakan. Malah segala Perintah Kawalan Pergerakan diwartakan. Segala penggantungan aktiviti sosial dan pelaksanaan ‘rehat sementara’ dalam segmen politik termasuk penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga telah dilakukan.

Segala jenis kompaun dan denda termasuk penjara juga dipraktikkan. Namun, semuanya tidak mampu untuk menurunkan bilangan kes harian pandemik ini.

Maka dimana silapnya?

Pastinya daripada diri kita sendiri. Janganlah hendak salahkan orang lain, termasuk individu yang mengumumkan pelaksanaan PKP pada masa ini iaitu Pak Long Mail.

Betul tak? Seharusnya kita bersyukur. Banyak yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat.

Tapi kita masih menyalahkan orang lain, malah menjadikan Pak Long Mail sebagai ‘kambing hitam’.

Bila mana kejayaan dicapai, tidak pula Menteri Kanan Pertahanan ini diberi kredit. Begitu mudahnya kita meletakkan sesuatu kesalahan atas bahu pihak lain.

Namun, pasti suatu hari nanti, orang akan berkata: “Terima kasih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pasukan kerana telah banyak berkorban untuk memulihkan negara daripada pendemik Covid”.

Ketika itu, yang hak akan terserlah dan yang batil akan tenggelam. Percayalah, kita mampu melakukannya.

Apa yang kita perlu lakukan, turuti segala perancangan yang telah dirangka oleh kerajaan. Semuanya untuk kesejahteraan rakyat.

Di sinilah pengorbanan yang perlu kita jayakan demi menghapuskan Covid-19 daripada terus menular.

Tepuk dada, tanya selera. Adakah kita mahu semua ini berlangsung untuk tempoh yang lama. Pastinya tidak!

Mari kita bantu Pak Long Mail dan pasukannya ‘membanteras’ pandemik ini sehingga berjaya.

Selamat berjaya rakyat Malaysia, insyaAllah.