ayob
AYOB Khan Mydin Pitchay sedang memeriksa seorang pemandu kenderaan di sekatan jalan raya di Johor Bharu, hari ini. - Gambar Polis Johor

POLIS Johor menemui beberapa petunjuk baharu membabitkan kumpulan jenayah terancang, Geng Nicky apabila menjalankan siasatan terhadap suspek-suspek yang ditahan baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata banyak petunjuk baharu diperoleh daripada siasatan terhadap suspek berkenaan yang dipercayai terbabit dalam kumpulan tersebut.

“Bagaimanapun, saya tidak akan mendedahkan apa petunjuk itu atau beri sebarang kenyataan mengenai perkara itu kerana siasatan masih berjalan.

“Suspek yang ditangkap masih menjalani proses soal siasat. Banyak petunjuk baharu yang timbul daripada siasatan dijalankan itu.

“Kita tunggu dulu, jika ada sebarang perkembangan nanti, saya akan maklumkan,” katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook Polis Johor selepas melakukan lawatan ke pusat-pusat beli belah dan meninjau sekatan jalan raya di Johor Bahru hari ini.

BERITA BERKAITAN Seorang lagi pegawai polis dikaitkan dengan Geng Nicky dibebaskan

Media melaporkan beberapa pegawai kanan polis yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah terancang Geng Nicky, dibebaskan dengan jaminan polis baru-baru ini.

Perkara itu dimaklumkan peguam mereka ketika dihubungi media.

Pada 9 April lalu, seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Nicky Liow Soon Hee, didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tuduhan terbabit dalam kumpulan Geng Nicky.

Nicky, 33, adalah pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, suspek dipercayai terbabit dengan Geng Nicky yang dibebaskan sebelum ini bukan bermakna mereka dilepaskan daripada tuduhan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, suspek hanya dilepaskan dengan jaminan polis bagi membolehkan kertas siasatan dilengkapkan.

“Ada orang tanya, kenapa suspek ditangkap sebelum ini dibebaskan. Mereka dibebaskan dengan jaminan polis bukan dibebaskan sebebas-bebasnya.

“Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan dan kemudian akan ditentukan untuk dituduh di mahkamah atau tidak,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram