Santun dan sahur UPSI bersama frontliners di SJR daerah Muallim dan Hulu Selangor

0
125

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diwakili Majlis Perwakilan Pelajar UPSI melawat dan mengagihkan juadah sahur serta beberapa sumbangan kepada petugas sekatan jalan raya di sekitar daerah Muallim dan Hulu Selangor.

Menurut Penasihat Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Encik Mohd Azraai bin Arifin, terdapat kira-kira lima sekatan jalan raya yang berada di kawasan yang terlibat. Seramai 26 orang barisan Majlis Perwakilan Pelajar serta pegawai terlibat telah menjayakan misi untuk menyantuni dan menghargai para barisan hadapan.

“Pihak universiti amat prihatin terhadap petugas-petugas barisan hadapan untuk menangani wabak Covid-19. Program Santun dan Sahur UPSI bersama Frontliners adalah salah satu medium untuk menghargai jasa dan pengorbanan petugas-petugas di sekatan jalan raya dengan menyumbangkan juadah sahur dan beberapa peralatan yang diperlukan untuk membanteras penularan wabak Covid-19 ini.

“Akan tetapi, SOP yang ketat juga dipraktikkan semasa program berlangsung dimana di setiap sekatan, jawatankuasa yang terlibat akan disanitasi terlebih dahulu sebelum masuk ke kawasan sekatan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan ini. Walaupun berjalan dalam masa yang singkat, urusan pengagihan makanan dan alatan kelengkapan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Usaha yang diambil oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan satu suntikan semangat buat para petugas barisan hadapan yang banyak mengerah tenaga walaupun sedang menjalani ibadah puasa serta akan menyambut perayaan yang kian tiba,” tambah beliau lagi.

Menurut Wakil Pejabat ADUN Slim River , Tuan Haji Saidin Bin Ardi ketika ditemui menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak UPSI kerana dapat menjalankan program seperti ini dan berharap semua pihak bukan sahaja Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dapat mengambil pelbagai inisiatif sebagai tanda menghargai jasa Barisan Hadapan yang telah menjalankan tanggungjawab yang berat selama pandemik ini berlaku.

“Tidak dilupakan kepada semua barisan hadapan yang bertungkus lumus menjalankan amanah dengan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Perkara ini sebenarnya memberi kesedaran kepada kita untuk menyambut perayaan kali ini dengan lebih menghayati makna Aidilfitri dan bukan mengikut tradisi,” tambahnya.

Gambar: Taufiq Bahari