Penduduk Beit Hanun membawa barangan masing-masing menuju sekolah PBB di utara Gaza.


SERANGAN udara dan darat tanpa henti pengganas Zionis memaksa sekurang-kurangnya 10,000 penduduk Palestin di Gaza meninggalkan rumah masing-masing.

Al Jazeera melaporkan, penduduk Palestin itu menjadikan sekolah dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di utara Gaza sebagai tempat perlindungan daripada serangan meriam pengganas Zionis.

Pengganas Israel meneruskan serangan udara dan meriam ke atas Genting Gaza hari ini ketika askar dan kereta kebal pengganas semakin menghampiri semenanjung Gaza yang terkepung oleh rejim.

Pengganas Zionis terus membedil Gaza sejak Isnin lalu.

Sekurang-kurangnya 126 penduduk Palestin termasuk 31 kanak-kanak terbunuh manakala 920 lagi cedera sejak pertempuran antara pejuang Palestin dan pengganas Zionis meletus Isnin lalu.

Angka kematian dijangka terus meningkat ketika serangan udara pengganas Zionis mengenai kem pelarian Shati mengakibatkan tujuh terbunuh termasuk enam kanak-kanak.

Sekurang-kurangnya 20 orang  penduduk pula terperangkap atau tertimbus di sebalik sisa runtuhan.

Di sebalik gesaan antarabangsa termasuk dari Setiausaha Agung PBB agar perang dihentikan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar meneruskan serangan dalam usaha mengembalikan keamanan di Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Hamas meneruskan serangan roket ke atas Israel yang mengenai bandar Ashdod awal pagi ini.

Bagaimanapun dalam serangan itu, tiada penduduk Israel terbunuh dalam serangan berkenaan yang mengakibatkan kerosakan kepada sebuah bangunan pangsapuri.

Hamas mendakwa serangan roket itu sebagai tindak balas kepada serangan udara pengganas terhadap kem pelarian Shati.

Sekurang-kurangnya sembilan penduduk Israel terbunuh dalam serangan pejuang Hamas.