noor hisham
Dr Noor Hisham Abdullah.

SATU perkara membimbangkan dengan COVID-19 khususnya varian baharu dari India ialah kemampuan ujian untuk mengesannya.

Mengambil contoh ketibaan penumpang pesawat Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dari India 13 Mei lalu.

Ikutkan, misi khas ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT-PCR COVID-19 negatif sahaja.

Namun ujian RT-PCR COVID-19 mereka yang diambil sekali lagi sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendapati tujuh daripada 132 penumpang positif dengan kadar positiviti 5.3 peratus – sehari sebelumnya RT-PCR semuanya negatif!

Justeru kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mengambil kira keputusan di atas dan penilaian risiko yang dijalankan, tempoh kuarantin wajib bagi penumpang pesawat misi khas itu yang tiba dari India dilanjutkan dari 14 hari kepada 21 hari.

Katanya, ini meliputi penumpang yang tiba melalui penerbangan repatriasi pada 13 Mei 2021 dengan kesemua mereka perlu menjalani ujian makmal RT-PCR bagi pengesanan COVID-19 mengikut SOP yang ditetapkan selain kuarantin wajib di setesen ditetapkan kerajaan.

“Semua rakyat Malaysia dinasihatkan untuk memberi kerjasama dalam mengekang kemasukan varian baharu dari India, iaitu varian B.1.617.

“Varian ini dilaporkan lebih cepat menular dan menyebabkan gejala yang lebih serius termasuk dalam kalangan yang berusia di bawah 50 tahun.

“Sentiasa patuhi SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. Bersama kita perangi COVID-19!,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Menurut Noor Hisham, mengambil kira situasi penularan COVID-19 di India dengan 300,000 jangkitan sehari, kerajaan Malaysia telah meluluskan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana untuk membawa pulang dari India rakyat Malaysia dan pasangan/keluarga mereka.

Katanya, misi khas ini telah diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), BOMBA, Airport Fire & Rescue Service (AFRS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Aviation Security (AVSEC), syarikat Follow Me, syarikat UTW Electrical dan syarikat pengangkutan swasta.

Jelas Noor Hisham, misi ini telah melibatkan 219 orang petugas dan pada 11 Mei 2021 jam 9.15 pagi, pesawat Malindo Air telah berlepas ke India dan telah selamat mendarat di KLIA pada 12 Mei 2021 jam 12.53 pagi.

“Penerbangan ini membawa pulang 132 orang (64 lelaki dan 68 perempuan) iaitu 117 orang rakyat Malaysia, lapan orang warga Brunei, empat warga Denmark, dua warga India dan seorang warga Indonesia.

“Mereka terdiri dari 92 orang dewasa dan 40 orang kanak-kanak. Misi ini hanya membawa pulang penumpang dengan keputusan ujian RT-PCR COVID-19 negatif sahaja,” jelasnya.

Baca artikel berkaitan: Kes sparodik, varian baru kenapa PKP 3.0 diperlukan – KP Kesihatan

Kapal dari India tak wajib kuarantin 14 hari, JLM jelaskan isu SOP

Kata beliau, seramai 20 orang petugas iaitu 14 anak kapal, empat orang anggota KKM dan masing-masing seorang anggota dari NADMA dan KLN telah menyertai penerbangan ini.

“Mereka telah mengenakan kelengkapan PPE (Personal Protection Equipment) penuh. Sebaik sahaja mendarat di KLIA, penumpang-penumpang ini telah dibawa melalui laluan khas ke Air Disaster Unit (ADU) KLIA untuk menjalani saringan kesihatan.

“Didapati tiada penumpang yang mengalami gejala, namun mereka telah diambil swab untuk ujian pengesanan RT-PCR COVID-19,” katanya.

Susulan itu, keputusan ujian yang diperolehi pada 13 Mei 2021 menunjukkan tujuh dari 132 penumpang telah dikesan positif COVID-19 dengan kadar positiviti 5.3 peratus.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram