PKP3.0: Murid kembali belajar secara PdPR mulai minggu ini

0
128
Salah seorang pelajar mengikuti sesi pembelajaran di rumah (PdPR) secara online berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Shah Alam. GAMBAR: Abd Razak Aid

SELEPAS seminggu umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah masing-masing, maka para pelajar telah memulakan persekolahan mereka secara maya menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut jadual yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, sesi pembelajaran murid sekolah bagi kategori sekolah Kumpulan B diteruskan hari ini sehingga 28 Mei yang melibatkan sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Bagi kumpulan A pula, sekolah-sekolah yang terlibat adalah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan sesi pembelajaran telah bermula semalam sehingga 27 Mei ini.

Dalam pengumuman pada hujung April lepas, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin berkata langkah itu diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan dan bakal meningkatkan jangkitan di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut tinjauan Bernama, beberapa orang ibu bapa memberikan respons positif susulan pengumuman pelaksanaan PdPR selama dua minggu ini.

Pengguna media sosial Azizan Abu Bakar berkata beliau menyokong keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi pelaksanaan PdPR bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 yang mungkin berlaku di luar sekolah semasa musim perayaan.

“Win-win situation bagi mengelak kluster Hari Raya menular ke sekolah dan tindakan makluman awal pun sangat tepat supaya pihak sekolah boleh merancang awal bahan PdPR untuk murid sebelum mula bercuti hari raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

BERITA BERKAITAN Sekolah: PdPR dua minggu selepas cuti Aidifiltri

Noriah Saleh, 34, ibu kepada tiga anak yang masih bersekolah berkata anaknya kini sudah membiasakan diri untuk belajar secara PdPR menggunakan modul latihan yang disediakan guru sebelum cuti Aidilfitri bermula.

“Cikgu akan hantar pesanan melalui apilkasi WhatsApp pada ibu bapa untuk ingatkan anak-anak dan memantau mereka buat latihan ikut subjek. Kelas dalam talian pun sudah ada jadual dan lebih teratur,” katanya seperti yang dipetik di Bernama.com.

Bapa kepada dua pelajar, Yusri Mohd, 40, berkata sebagai persiapan awal untuk menghadapi peperiksaan, beliau mengingatkan anaknya supaya mengikuti kelas di DidikTV sekiranya tidak dapat mengikuti kelas secara dalam talian.

“Untuk pastikan tidak tertinggal pelajaran saya suruh anak tengok televisyen (DidikTV) untuk belajar sebagai tambahan selain baca nota dan siapkan latihan yang cikgu bagi untuk ulang kaji setiap hari,” katanya.

Sebelum ini, Radzi memaklumkan selepas tempoh PdPR itu, murid dan pelajar akan menyambung cuti penggal yang bermula 28 Mei sehingga 12 Jun bagi sekolah kumpulan A dan 29 Mei sehingga 13 Jun bagi sekolah kumpulan B.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram