Dr Noor Hisham Abdullah

SEBANYAK 11 negeri dan wilayah mencatat kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 melebihi purata kebangsaan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang berkongsi data melalui media sosialnya, nilai Rt Malaysia mencatat sedikit peningkatan kepada 1.06 semalam berbanding 1.05 kelmarin, namun 11 negeri mencatat Rt antara 1.08 hingga 1.26.

Pahang mencatatkan Rt tertinggi semalam dengan 1.26, disusuli Kedah (1.24), Perak (1.22), Terengganu (1.22), Putrajaya (1.16), Negeri Sembilan (1.16), Selangor (1.14), Johor (1.13), Melaka (1.12), Pulau Pinang (1.09) dan Kuala Lumpur (1.08).

Tiga negeri pula mencatat Rt terendah semalam iaitu Sabah (0.93), Kelantan (0.93) dan Sarawak (0.97), manakala Labuan dan Perlis masing-masing tidak mencatatkan sebarang kes baharu, memetik data Noor Hisham di Facebook awal pagi tadi.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

BERITA BERKENAAN Kadar kebolehjangkitan naik semula, 10 negeri atasi nasional

Data dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan, trend kes harian ketika ini sedikit menurun berbanding sebelum ini, namun jumlah kes harian dicatatkan sejak tujuh hari lalu masih tinggi, iaitu antara 3,700 hingga lebih 4,800.

Kes harian mula mencatat lebih 3,000 sejak 28 April lalu, sebelum mula mencecah lebih 4,000 pada 7 Mei lalu.

Berdasarkan trend semasa penularan pandemik itu di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan kes harian berisiko menghampiri 9,000 sehari menjelang awal bulan depan jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram