SELAGI ada daya, walau sakit macam mana pun apa sahaja usaha pasti akan dilakukan.
Lebih-lebih lagi melibatkan seorang suspek yang akan melakukan apa termampu melepaskan diri daripada tahanan polis.
Itu yang berlaku kepada seorang tahanan lelaki yang cuba melarikan diri dari Hospital Selayang semalam.
Lelaki berusia 39 tahun yang ditahan bersabit kes rogol itu telah dimasukkan ke hospital berkenaan Ahad lalu bagi mendapatkan rawatan penyakit sawan yang dialaminya.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1 petang semalam, suspek telah bertindak melarikan diri dalam keadaan masih bergari.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas dua anggota polis yang telah ditugaskan menjaga lelaki tersebut berjaya menahan semula suspek yang melarikan diri dalam keadaan tangan masih bergari.
Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, ketika anggota polis tersebut melakukan pemantauan, lelaki itu sedang berbaring dan mengalih kedudukan secara duduk di atas katil sambil tangan kirinya dalam keadaan bergari di bahagian kepala katil.
“Secara tiba-tiba lelaki tersebut terus melompat dari katil dan berlari ke arah luar hospital dalam keadaan tangan masih bergari.
Baca artikel berkaitan: Guna surat palsu lepas SJR, dadah RM4.2 juta dirampas
Seorang lagi pegawai polis dikaitkan dengan Geng Nicky dibebaskan
“Dua orang anggota polis kemudiannya terus mengejar lelaki itu sejauh kira-kira 120 meter sehingga ke hadapan kawasan sebuah pusat membeli-belah.
“Semasa proses tangkapan, telah berlaku sedikit pergelutan dan seorang anggota polis mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arifai memaklumkan, lelaki berkenaan telah ditangkap bersabit satu kes rogol oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dan ditahan reman selama tujuh hari.
Katanya, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.
“Dalam kes ini, kita menjalankan siasatan menyeluruh daripada pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut.
“Semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

