SATU daripada dua kes positif Covid-19 di Singapura yang dikaitkan dengan kluster baharu dikatakan berpunca daripada seorang kanak-kanak rakyat negara ini, menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan republik itu malam tadi.
Kanak-kanak yang merupakan murid di sebuah Sekolah Rendah Yuhua itu kali terakhir ke sekolah pada 14 Mei lalu.
Selain menjangkiti ahli keluarganya, seorang tukang masak berusia 36 tahun di Restoran Spring Court yang juga dari Malaysia, turut dikaitkan dengan kluster sama selepas keputusan ujian pada 17 Mei menunjukkan positif COVID-19.
Kes pertama kluster ini melibatkan seorang Penduduk Tetap berusia 64 tahun yang kini menganggur dan kedua-dua rakyat Malaysia itu serumah dengan wanita tersebut yang disahkan positif pada 15 Mei.
Baca artikel berkaitan: Singapura pun ‘lockdown’, kedai makan hanya boleh tapau
Semalam Singapura melaporkan 11 kes tidak berkaitan termasuk dua lagi rakyat Malaysia. Republik itu yang telah memperketat langkah-langkah keselamatan dalam masyarakat bermula 16 Mei lalu setakat ini mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 sebanyak 61,651.
Terdapat 220 kes masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih, manakala lima pesakit kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
Singapura mencatatkan 19 kluster terbuka setakat ini.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

