SETIAP hari Kementerian Kesihatan akan memaklumkan Selangor merupakan antara negeri tertinggi merekodkan kes jangkitan baharu tetapi setakat ini hanya 3.3 peratus sahaja rakyatnya yang telah divaksin COVID-19, antara kadar terendah.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kadar tersebut adalah sangat rendah berbanding dengan negeri-negeri lain walaupun Selangor mempunyai penduduk melebihi 6.7 juta.
“Jumlah ini sangat rendah berbanding negeri lain, antaranya Kuala Lumpur, Pahang, Sabah dan beberapa negeri lain.
“Kita harap kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dapat menumpukan pemberian vaksin ini di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar secara Facebook Live di sini hari ini yang turut disertai Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
BERITA BERKAITAN KKM pertimbang cadang PKP penuh di Selangor
Sehubungan itu, Selangor membuat keputusan untuk membeli vaksin dan diedarkan kepada rakyatnya kerana terdapat permintaan daripada para majikan yang mahu memberikan vaksin tersebut kepada pekerja mereka dengan kadar segera.
“Jika diikuti kepada Pelan Imuninisasi Kebangsaan, golongan pekerja akan menjadi antara kumpulan terakhir menerima vaksin dan syarikat-syarikat besar termasuk kilang tidak sanggup menunggu terlalu lama yang menyebabkan mereka rugi besar kerana perniagaan asyik dibuka dan ditutup,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini, terdapat 3,400 syarikat telah mendaftarkan seramai 1 juta pekerja bagi membolehkan mereka membeli sendiri vaksin COVID-19 tersebut.
Menyentuh mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh seperti yang dicadangkan kerajaan pusat, Dr Siti Mariah berkata, kerajaan negeri tiada masalah melaksanakannya tetapi tindakan itu akan melumpuhkan kegiatan ekonomi di negeri tersebut.
BERITA BERKAITAN 3,733 kes baharu, Selangor kekal tertinggi dengan 1,278 kes
“Selangor menyumbangkan kira-kira hampir 20 peratus kepada KDNK Malaysia dan pelaksanaan PKP penuh akan menyebabkan negara dan rakyat mengalami kesan ekonomi yang teruk,” katanya.
Menurut laporan media, PKP menyeluruh di Selangor akan menyebabkan kerajaan kerugian RM600 juta sehari dan jumlah itu bakal meningkat kerana penguatkuasaannya dijangka mempengaruhi Kuala Lumpur dan seluruh Lembah Klang.
Dr Siti Mariah berkata, selain golongan pekerja, Selangor juga mengenal pasti beberapa kumpulan bekeperluan untuk menjadi penerima awal vaksin seperti golongan warga emas dan pekerja di pusat-pusat penjagaan kebajikan yang merupakan berisiko tinggi.
“Selain itu, pelaksanaan PKP menyeluruh juga akan menyebabkan rakyat terutama peniaga-peniaga kecil akan kehilangan pendapatan sekali lagi,” katanya.
Dr Dzulkefly pula berkata, Kementerian Kesihatan digesa meningkatkan kadar ujian serta pemberian vaksinasi sebelum melaksanakan cadangan menguatkuasakan PKP secara penuh dan lebih ketat di Selangor.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

