SELEPAS 11 hari bertempur, pejuang Hamas dan pengganas Zionis Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata awal pagi ini.
Kekejaman yang dimulakan rejim Zionis pada 10 Mei itu telah mengakibatkan 232 nyawa rakyat Palestin terkorban termasuk 65 kanak-kanak.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru seluruh dunia untuk memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan di samping pembangunan semula wilayah Palestin.
Gesaan itu disuarakan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi ciapan dalam Twitternya hari ini.
Menurut Hishammuddin, serangan Israel telah menyebabkan ratusan orang terkorban dan ribuan lagi tercedera.
“Malaysia mengucapkan takziah kepada semua mangsa keganasan.
“Sekarang, mari beri tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula rakyat Palestin,” katanya dalam ciapan tersebut hari ini.
Baca artikel berkaitan: Selepas 11 hari bertempur, Hamas dan Zionis setuju gencatan senjata
Dalam ciapan berasingan, Hishammuddin berkata, semua rakyat Palestin berhak mendapat hak yang sama seperti individu lain untuk hidup dalam kedamaian dan keadilan.
“Sokongan dan solidariti Malaysia dengan Palestin tidak pernah berbelah bahagi.
“Berdiri dengan Palestin adalah berdiri bersama kemanusiaan dan Malaysia menyeru negara-negara lain untuk melakukan perkara yang sama,” jelas beliau.
Hamas dan pengganas Zionis Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata bermula awal pagi ini sekaligus membuka ruang kepada penamatan pertempuran yang berlangsung sejak 11 hari lalu.
Perkara itu disahkan jurucakap Hamas dan Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Kenyataan pejabat Netanyahu berkata, Kabinetnya sebulat suara menerima saranan yang diusulkan Mesir untuk mengadakan gencatan senjata tanpa syarat.
perang sengit antara kedua-dua belah pihak yang bermula 10 Mei itu telah mengakibatkan 232 nyawa rakyat Palestin terkorban, termasuk 65 kanak-kanak.
Angka korban Zionis Israel pula disahkan setakat ini seramai 12 orang dengan ratusan cedera dalam serangan roket Hamas.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

