tabung

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin hari ini menyerahkan sumbangan RM35,000 untuk tabung membantu rakyat Palestin yang dikendalikan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Penjelajah Grand Slam Negara yang juga dan Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai itu, menyerahkan sumbangannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby Al Kahery, antara NGO yang menguruskan tabung Palestin di Malaysia.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan ialah Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan sahabat artis Datuk Mohamed Hadi Putera Halim atau Adi Putra.

“Jika diizinkan, saya ingin bersama mereka mempertahankan bumi suci umat Islam di sana. Tapi tidak mudah untuk ke sana. Hanya doa dan sedikit sumbangan ikhlas daripada saya dalam berjihad memelihara kedaulatan negara Palestin yang saban tahun dirompak tanah mereka oleh Israel,” kata Muqharabbin.

Katanya, walaupun bukan merupakan golongan berada tetapi beliau menyumbang dengan ikhlas setakat yang mampu bagi meringankan beban mangsa kekejaman Israel di Palestin.

BERITA BERKAITAN Sokongan buat Palestin

“Saya menentang sekeras-kerasnya penindasan dan penaklukan tanah Palestin secara tidak bermoral dan tanpa perikemanusiaan. Saya yakin ramai sahabat-sabahat pemuda dan rakyat Malaysia akan terus bersama menyumbang dana buat Palestin,” katanya dalam satu majlis penyerahan sumbangan itu di Kajang, hari ini..

Beliau berkata, walaupun ketika ii pandemik Covid-19 masih berleluasa tetapi rejim Israel tanpa rasa belas kasihan membunuh orang yang tidak berdosa.

Shahril Sufian Hamdan berkata, Pemuda UMNO turut bersolidariti dalam mengutuk kekerasan tentera Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau menyeru agar pemimpin antarabangsa untuk campur tangan dan memberi tekanan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan negara lainnya yang menormalisasi hubungan dengan Israel.

“Sehingga hari ini, hampir 90 ribu rakyat palestin yang sudah tidak mempunyai tempat tinggal akibat sasaran peluru berpandu tentera Israel dan membunuh lebih daripada 200 orang yang tidak berdosa dalam serangan terbaharu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat Malaysia sama-sama segera menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan mengajak umat Islam dan bukan Islam bersoladiriti berkenaan perkara itu kerana ia bukan melibatkan soal agama dan bangsa, tetapi kemanusiaan.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram