PERSEPSI rakyat secara umumnya ketika ini melihat kerajaan seolah-olah terlalu ‘menjaga hati’ tauke-tauke besar dan kapitalis berorientasi maksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhaen.
Dalam tempoh mencabar ini juga, kerajaan seharusnya mengutamakan nyawa rakyat berbanding memenuhi keperluan ekonomi.
Nada tegas itu disuarakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut menekankan kepentingan bahawa sekiranya nyawa dapat diselamatkan, maka ekonomi akan selamat.
Pada masa sama, beliau berkata, menangani COVID-19 ke tahap sangat minimum patut diutamakan daripada berterusan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ‘separuh masak’ yang lebih menyukarkan usaha memulihkan ekonomi untuk jangka panjang.
Sehubungan itu, kata beliau, Pemuda UMNO meminta kerajaan supaya menilai semula keputusan yang diambil semalam untuk tidak mengenakan PKP secara menyeluruh sebelum keadaan menjadi lebih parah.
“Tiada pengumuman sebarang bentuk bantuan khas, i-Sinar 2.0, i-Lestari atau pun lanjutan moratorium di kala rakyat dihimpit kesulitan dan sudah pun mulai terdesak akibat PKP ‘separuh masak’ dan ‘buka-tutup’ berlanjutan.
“Suasana krisis pandemik yang luar biasa hari ini tak boleh nak penuhi semua perkara dalam satu masa. Utamakan yang perlu diutamakan. Nyawa lebih mustahak daripada ekonomi. Selamat nyawa selamat ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Industri tolak PKP menyeluruh, cetus tekanan ekonomi
Kerajaan mengumumkan akan mengetatkan lagi pelaksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa dengan penambahan sekatan ke atas sektor ekonomi dan sosial.
Keputusan itu dibuat hasil mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan perinciannya akan diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada pukul 5 petang, hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, rakyat lebih rela pelaksanaan ‘total lockdown’ untuk tempoh 14 hingga 21 hari berbanding menghadapi situasi PKP berulang kali bagaikan tiada kesudahan.
Beliau malah menegaskan data dan sains menunjukkan kilang-kilang milik tauke dan syarikat multinasional (MNC) merupakan penyumbang terbesar hingga 50 peratus penularan wabak COVID-19.
Walau bagaimanapun, kata beliau, syarikat itu terus dibenarkan beroperasi sedangkan peniaga kecil, penjaja, pengusaha kantin, pekerja gaji harian dan lain-lain berhadapan situasi ‘buka-tutup’ tiada penghujung.
“Tiada jaminan penularan COVID-19 dapat dikekang sekiranya kilang-kilang tetap beroperasi walau PKP diperketatkan. Realitinya, pekerja-pekerja kilang bukan tinggal dalam kawasan kilang.
“Mereka tinggal dalam komuniti, berbeli-belah di pasar raya sama dengan masyarakat. Contoh di kawasan saya tinggal iaitu Petaling Jaya, pekerja kilang tinggal di flat-flat, berbeli-belah di (pasar raya) Giant, Tesco dan Bintang seperti orang lain,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

