MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) tidak akan sesekali berkompromi dengan peminjam yang sengaja culas untuk membayar balik pinjaman.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, langkah mengheret peminjam culas ke mahkamah merupakan keutamaan sejak beliau mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Mara.
Beliau berkata, ia bagi memastikan setiap sen wang rakyat dikembalikan dan boleh dimanfaatkan semula untuk keperluan orang lain.
“Maaf ya! Ada yang pertikai Mara bawa isu peminjam culas ke mahkamah.
“Kalau namanya pinjaman bermakna wajib bayar.
“Ini bukan hak kita untuk berkompromi atau memaafkan peminjam culas kerana setiap sen yang disalurkan sebagai pinjaman merupakan wang amanah rakyat,” katanya dalam hantaran tersebut.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menegaskan, arahan Majlis Mara kepada pihak pengurusan amat jelas iaitu tidak melayani surat-surat yang membuat permohonan pengecualian.
Kata beliau, ia termasuk daripada pihak-pihak berpengaruh walaupun setinggi mana kedudukan mereka.
“Sebab itulah antara program Transformasi Mara yang diperkenalkan termasuk aspek transformasi disiplin kewangan Mara.
“Ia bagi memastikan wang rakyat tidak sewenangnya dipersiakan atau tiris akibat daripada kecelaruan dalam memahami amanah dan mandat rakyat,” jelas beliau.
Tahun lalu, Asyraf mendedahkan pinjaman tidak berbayar (NPL) ditanggung MARA mencecah 49.6 peratus bernilai RM893 juta, menyebabkan agensi itu bakal mengambil tindakan tegas termasuk saman terhadap mereka yang gagal melunaskan pinjaman terbabit.
Beliau berkata, MARA tidak akan berkompromi dan enggan melayan sebarang permohonan peminjam yang menghantar surat menggunakan nama VIP tertentu untuk mengelak daripada membayar pinjaman perniagaan diberikan kepada mereka kerana wang itu adalah duit rakyat.
Hingga Oktober 2024, seramai 97,866 daripada jumlah keseluruhan 197,348 peminjam aktif MARA disenarai hitam.
Tindakan senarai hitam itu dikenakan terhadap peminjam yang culas membayar dalam tempoh tiga bulan dan terangkum dalam pengurusan MARA sahaja tanpa membabitkan agensi dan ekosistem lain.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

