MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) membuat ketetapan untuk memperluaskan pelaksanaan inisiatif warden luar sepenuh masa bagi 10 lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bermula Jun tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan langkah pengukuhan awal sebelum diperluaskan ke kesemua 58 MRSM di seluruh negara bermula Januari tahun hadapan.
“Gabungan elemen ketegasan dan nilai ‘keibubapaan’ ini menjadikan mereka bukan sekadar warden tetapi pembimbing dan pendidik kepada anak-anak di asrama.
“Pendekatan ini diyakini mampu memperkukuh sistem pengurusan asrama secara lebih tersusun, profesional dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mendengar pembentangan laporan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai Keberkesanan Projek Rintis Pelantikan Warden Luar Sepenuh Masa dalam kalangan bekas tentera.
Menerusi pembentangan itu, UPM mendapati sifar kes buli direkodkan dengan tahap disiplin pelajar meningkat, pemantauan lebih konsisten serta tindak balas terhadap isu kebajikan dan keselamatan pelajar lebih pantas.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi telah meminta pasukan UPM diketuai oleh Prof Dr Haslinda untuk membantu membangunkan modul latihan khusus kepada warden-warden yang bakal dilantik.
“Modul ini akan memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek disiplin dan keselamatan tetapi juga pembentukan nilai kemanusiaan, empati dan keibubapaan agar mereka benar-benar menjiwai peranan mentarbiah anak-anak MRSM,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

