SAMBUNGAN SEMALAM : Benarlah, pertempuran di Padang Kachong itu satu tragedi kepada penentang-penentang campur tangan British. Pemenjaraan para pemberontak dan terbuangnya pemimpin mereka, Haji Abdul Rahman Limbong di Mekah sehingga meninggalnya beliau di sana, juga satu titik pahit dalam sejarah negeri Terengganu.
Tetapi, bagaimana dan bilakah detik bermulanya penentangan beliau serta rakyat negeri itu terhadap pentadbiran British? Siapakah mat saleh yang membawa angkara tersebut?
Semuanya bermula di sini…
Pada hari ini dalam tahun 1919, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sir Arthur Henderson Young bagi pihak kerajaan British dengan baginda Sultan Terengganu, Sultan Muhammad Shah II Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III. Arthur Henderson merupakan Gabenor Negeri-Negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-negeri Melayu


Apakah butir perjanjian berkenaan?
Perjanjian itu adalah untuk membatalkan Perkara Kedua dalam Perjanjian 22 April 1910 yang sebelum itu telah ditandatangani oleh Sultan Zainal Abidin III dan Sir John Anderson. Perkara Kedua ini menetapkan, “…. bahawa kerajaan Great Britain hanya ingin meletakkan seorang Pegawai British di Terengganu sebagai seorang agen yang berfungsi sama seperti Pegawai Konsular. Baginda Sultan Terengganu hendaklah menerima Pegawai ini dan menyediakan dengan percuma suatu tempat di mana akan dibina rumah Pegawai seperti ini.”
Dalam perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju membatalkan Perkara Kedua tersebut dan menggantikannya dengan perkara-perkara berikut;
PERTAMA : Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu akan menerima dan menyediakan tempat kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang akan dipanggil sebagai Penasihat British dan yang akan tinggal di negeri Terengganu, dan nasihatnya hendaklah diminta dan dilaksanakan mengenai semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran negeri itu kecuali hal-hal yang bersangkutan dengan agama Islam.
KEDUA: Perbelanjaan bagi perjawatan Penasihat British ini akan ditentukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibayar dari hasil mahsul Negeri Terengganu.
KETIGA: Pungutan dan pembayaran semua hasil negeri itu hendaklah diselenggarakan mengikut nasihat Penasihat British itu.

Perjanjian ini ditandatangani di Singapura dengan disaksikan oleh H. Marriot dan J. L. Humphreys bagi pihak kerajaan British manakala saksi bagi pihak Sultan Muhammad ialah Omar bin Abdul Rahman (Tengku Ngah), Abu Bakar bin Abdul Rahman (Tuan Embong), Ahmad bin Abdul Rahman (Tengku Chik) dan Muhammad bin Yusop (Haji Ngah).
Sebenarnya, Sultan Muhammad Shah II bukan menandatanganinya dengan rela, tetapi dipaksa. British sebelum itu berasa tidak puas hati kerana Almarhum Sultan Zainal Abidin III enggan menerima campur tangan mereka dalam pentadbiran negeri.
Artikel berkaitan :Pertempuran di Padang Kachong : Tok Janggut tewas, meninggal di Mekah https://utusantv.com/2021/05/23/pertempuran-di-padang-kachong-tok-janggut-tewas-meninggal-di-mekah/
Justeru, apabila baginda mangkat pada 25 November 1918, British mendesak agar Sultan Muhammad Shah II yang ditabal sebagai pengganti, memberi mereka ruang untuk mentadbir. Namun seperti mana almarhum ayahandanya, Sultan Muhammad Shah II juga tidak menunjukkan minat. Ini menyebabkan British memaksa supaya perjanjian 24 Mei 1919 ini ditandatangani.
Ekoran daripada perjanjian ini, J. L. Humphreys telah dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Terengganu. Dengan perlantikan ini, pentadbiran negeri Terengganu telah berubah corak dan Sultan terpaksa menerima dan mengikut kehendak Penasihat British.

Humphreys mula menerapkan undang-undang Barat ke dalam sistem perundangan Terengganu. Bagi Humphreys, sistem perundangan berasaskan Islamiyyah-Melayuwiyyah tidak praktikal.
Jawatan Sheikhul Ulama yang sebelum itu menjadi penasihat utama Sultan dan Jemaah Menteri, telah disingkirkan daripada pentadbiran negeri. Jawatan itu kemudian dimansuhkan dan diganti dengan Sheikhul Islam, yang hanya bertanggung jawab dalam pentadbiran agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.
Gaji Sheikhul Islam pula hanya RM150 sebulan, berbanding Penasihat British, RM1,050 sebulan berserta belanja hidup sebanyak RM100 sebulan. Selain itu, Penasihat British juga disediakan rumah, kenderaan, pemandu dan jurutulis, yang semua kos ini perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
Lebih ketara lagi, urusan pentadbiran yang memberi keuntungan material ditadbir oleh Penasihat British manakala urusan agama dan adat istiadat Melayu diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam.
Selain itu, Terengganu yang dahulunya diurus mengikut sitem pentadbiran daerah, diubah kepada pentadbiran jajahan – Timur, Barat dan Tengah. Ia ditadbir oleh Pesuruhjaya dan dibantu Penolong Penasihat British. Setelah itu, ditubuhkan lagi pelbagai pejabat dan jabatan yang semuanya diletakkan di bawah kuasa Penasihat British.
Keadaan ini secara langsung telah menggugat kuasa-kuasa baginda di dalam pentadbiran negeri. Sultan kini tidak boleh lagi menjalankan pemerintahan mengikut keputusannya sendiri, tetapi perlu mengikut telunjuk Penasihat British. Dalam kata lain, setiap keputusan yang dibuat oleh Penasihat British menjadi dasar yang perlu diikuti oleh Sultan dan Kerajaan Terengganu.
Semua campur tangan itu sambil mengenepikan peranan ulama serta pembesar tempatan dalam urusan pemerintahan negeri, amat tidak disenangi oleh Sultan.
Akhirnya baginda mengundur diri dan digantikan oleh adindanya, Tengku Muda Sulaiman yang menjadi Sultan pada bulan Mei 1920.

Tengku Muda Sulaiman menggunakan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan pada zaman bagindalah bermulanya penentangan secara terbuka terhadap British. Gerakan ini terus merebak hingga mencetuskan beberapa pertembungan, misalnya pada 1922 serta 1925 dan yang terakhir di Padang Kacong pada 23 Mei 1928.
Pertempuran itulah yang terakhir. Ramai yang terkorban dan dihukum penjara, manakala Haji Abdul Rahman Limbong dihantar ke Mekah, hinggalah beliau meninggal dunia di sana setahun setengah kemudian.
Pada zaman Sultan Badrul Alam Shah juga muncul gerakan nasionalisme Kesatuan Melayu Muda yang menentang pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu, khususnya Terengganu.

