KERJA-KERJA kerja membaik pulih perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang terlibat kemalangan Isnin baru-baru ini dijangka siap sepenuhnya tiga hari lagi dan setakat malam tadi lima daripada enam gerabak daripada dua tren yang terlibat dalam nahas itu berjaya dikeluarkan dari kawasan kejadian.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Prasarana, kerja-kerja mengeluarkan gerabak berkenaan telah dilakukan sejak semalam dan fokus hari ini ialah untuk mengeluarkan gerabak terakhir daripada laluan trek nahas tersebut.
“Kerja-kerja pemulihan berjalan lancar dan dijangka akan selesai dalam masa tiga hari seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan.
“Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta-merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan,” menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, cabaran paling besar ialah untuk memisahkan gerabak kedua-dua tren itu kembali ke landasan serta menaikkannya sebelum dihantar ke depoh LRT Kelana Jaya di Subang.
BERITA BERKAITAN 6 mangsa kemalangan LRT terima RM3,000, bantuan Perkeso
Seramai 47 penumpang tren dilaporkan parah, manakala 166 cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji pada Isnin malam.
Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan satu pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dan menjangkakan laporan hasil siasatan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
Prasarana berkata operasi membaik pulih berjalan 24 jam tanpa henti oleh jurutera yang bertugas dan juruteranya bekerja sepenuh masa dengan tiga syif sejak dua malam lepas.
Kerja membaik pulih tersebut melibatkan staf daripada Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek, Jabatan Stok Kereta (Rolling Stock), dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan (Signalling and Communication Wayside) daripada kelima-lima rangkaian rel – LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel.
Kerja-kerja pemulihan memasuki hari kedua hari ini dengan kira-kira 50 staf kejuruteraan dan teknikal bekerja pada setiap syif.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram