tajuddin
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (tengah) melawat lokasi kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran Stesen LRT KLCC . -- fotoBERNAMA

DATUK Seri Tajuddin Abdul Rahman memaklumkan beliau belum menerima surat pemecatan sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad yang ditandatangani oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketika diminta memberi komen, beliau seakan-akan tidak kisah dengan pemecatan itu yang berkaitan dengan kecaman diterimanya susulan kontroversi dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian nahas LRT kelmarin.

“Belum terima (surat pemecatan). Nak pecat, pecatlah. Apa isunya? Apa masalahnya? Terima kasihlah… Saya boleh buat kerja lain,” katanya dalam reaksi awal selepas dihubungi wartawan Malay Mail.

Malahan seperti dalam sidang akhbar sebelum ini, Tajuddin sekali lagi cuba menyakat wartawan apabila menyatakan: “(Watawan) Malay Mail, bukan Malay Mail telah ditutup ke?.”

“Jika mereka ingin meminta saya mengundurkan diri, jika ada arahan, lebih baik lagi. Tidak perlu menunggu. Orang lain pun boleh menguruskannya (sebagai Pengerusi Prasarana),, bukan saya sahaja. Ada (orang) yang pintar dan rajin,” tambahnya.

BERITA BERKAITAN Selepas dikecam netizen, Prasarana tamatkan perkhidmatan Tajuddin serta-merta

Tajuddin telah dikecam dengan hebat oleh netizen kerana cara pengendalian sidang akhbar mengenai nahas kemalangan LRT, selain isu akan disiasat polis kerana tidak memapai pelitup muka dalam sidang akhbar selepas beliau melawat kawasan tragedi.

Selepas tidak berpuas hati dengan cara Ahli Parlimen Pasit Salak itu membela dirinya kerana tidak hadir pada malam kejadian dan seolah-olah mempermainkan soalan para media, netizen juga telah melancarkan kempen meminta Tajuddin meletak jawatan.

Melalui kempen #LetakJawatanTajuddin di laman web https://www.change.org/p/prasarana-letakjawatantajuddin telah berjaya mencapai 139,739 setakat pukul 10 malam.

Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana berkuatkuasa 11 Mei 2020. Beliau menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

Dalam kemalangan membabitkan dua tren terebut, tiga penumpang mengalami pendarahan otak dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital (ICU) Kuala Lumpur (HKL).

Menurut laporan awal, seramai 47 penumpang parah, manakala 166 lagi mengalami cedera ringan dalam kejadian dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berlanggar di dalam terowong antara stesen Kampung Baru dan KLCC dua malam lepas.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram