TAJUDDIN ABDUL RAHMAN. - Gambar fail

SELEPAS dikecam hebat kerana cara pengendalian sidang akhbar mengenai nahas kemalangan LRT, perkhidmatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) ditamatkan serta-merta.

Penamatan perkhidmatan Tajuddin itu disahkan oleh Kementerian Kewangan selepas satu surat bertarikh 26 Mei yang dihantar kepada Tajuddin tular di laman sosial, hari ini.

“Dimaklumkan bahawa Menteri Kewangan telah bersetuju agar perkhidmatan Datuk Seri sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ditamatkan berkuasa kuasa serta-merta.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakam setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan yang telah Datuk Seri berikan kepada Prasarana sepanjang menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif syarikat,” demikian menurut surat tersebut, hari ini.

BERITA BERKAITAN LRT dijangka pulih tiga hari lagi, 5 daripada 6 gerabak terlibat berjaya dikeluarkan – Prasarana

Sementara itu, sumber Kementerian Kewangan mengesahkan mengena surat tersebut.

Selepas tidak berpuas hati dengan cara Ahli Parlimen Pasit Salak itu membela dirinya kerana tidak hadir pada malam kejadian dan seolah-olah mempermainkan soalan para media, netizen juga telah melancarkan kempen meminta Tajuddin meletak jawatan.

Melalui kempen #LetakJawatanTajuddin di laman web https://www.change.org/p/prasarana-letakjawatantajuddin telah berjaya mencapai 138,000 setakat pukul 8 malam dengan matlamat untuk mendapat 150,000 tanda tangan.

Tajuddin dilantik sebagai Pengerusi Prasarana berkuatkuasa 11 Mei 2020.
Beliau menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim, yang meletakkan jawatan pada 7 Mei 2020.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram