thjari
Laman sesawang www.thijari.com.my

LEMBAGA Tabung Haji (TH) hari ini memperkenalkan platform terbaharu iaitu Pembukaan Akaun secara Maya (Virtual Account Opening – VAO) menerusi pautan dan aplikasi THiJARI bagi menggalakkan bakal pendeposit TH membuka akaun secara dalam talian.

Pengenalan VAO merupakan sebahagian daripada inisiatif transformasi digital TH ke arah memperluaskan akses perkhidmatan, menjimatkan masa, mesra alam, selamat dan cekap.

Mustakim Mohamad

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, VAO bertujuan memberi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk membuka akaun TH dengan lebih mudah dari mana sahaja mereka berada sama ada melalui laman web atau aplikasi mudah alih, THiJARI.

Katanya, TH menyaran agar para pendepositnya terus meningkatkan penggunaan perkhidmatan dalam talian sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengurangkan interaksi bersemuka di kaunter cawangan TH seluruh negara berikutan penularan Covid-19 yang amat membimbangkan pada masa kini.

Bakal pendeposit hanya perlu melayari laman sesawang www.thijari.com.my (dan klik – Tiada Akaun TH? BUKA SEKARANG), kemudian isi butiran lengkap secara dalam talian dan seterusnya hadir di mana-mana cawangan TH bagi membuat pengesahan biometrik dan dokumen pengenalan.

BERITA BERKAITAN Bakal jemaah haji Malaysia perlu siap sedia.. hanya tunggu ‘lampu hijau’ Arab Saudi – TH

Katanya, Inisiatif itu sekaligus memudahkan urusan pembukaan akaun baru dan masa untuk membuka akaun disingkatkan dari 15 minit ke satu minit serta pendeposit akan diberi keutamaan apabila hadir di pejabat cawangan TH kerana telah melengkapkan permohonan terlebih dahulu.

“Bakal pendeposit perlu memenuhi syarat-syarat pembukaan akaun dan hanya perlu membawa MyKad dan amaun deposit permulaan. Selain itu, pendeposit yang mempunyai anak kandung di bawah umur 18 tahun juga boleh membuka akaun kanak-kanak menerusi THiJARI,” katanya semalam.

Beliau berkata, sejak THiJARI diperkenalkan pada Februari 2020, platform tersebut berjaya menarik lebih 800 ribu pengguna THiJARI Web dan 400 ribu pengguna THiJARI App.

THiJARI merupakan perkhidmatan dalam talian yang dilancarkan pada awal tahun lalu bagi memudahkan para pendeposit untuk melakukan transaksi dan menerima perkhidmatan TH secara dalam talian seperti menyemak akaun, mencetak penyata, pindahan wang, perkhidmatan berkaitan haji termasuk pendaftaran, surat tawaran dan rayuan haji serta turut memaparkan maklumat tentang Kelab TaHa.

Pada awal bulan Mei 2021, simpanan terkumpul TH terus berkembang sihat kepada RM80 bilion dengan jumlah pendeposit aktif kira-kira sembilan juta orang.

“TH terus komited untuk menambah baik mutu dan capaian perkhidmatan kami bagi keselesaan para pendeposit.

“Selain mewujudkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh, mudah, dan fleksibel, TH juga sentiasa peka terhadap keperluan semasa seiring dengan perkembangan digital dan yang paling penting ialah memastikan keselamatan para pendeposit terjaga walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 sekarang,” katanya.

TH mempunyai lebih 9 juta pendeposit dan 123 cawangan dengan lebih 10,000 ‘touch-points’ di seluruh negara.