BURSA Malaysia mengumumkan syarikat minyak dan gas, TH Heavy Engineering Berhad (TH Heavy) melantik ahli politik Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusinya yang baharu, berkuatkuasa semalam.
Pelantikan bekas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) itu sememangnya satu berita yang menarik perhatian dan menjadi perbualan bekas-bekas kakitangan syarikat akhbar Melayu tersebut yang telah ditutup pada Oktober 2019.
Memandangkan syarikat TH Heavy juga merupakan yang berada dalam status PN17 (seperti status Utusan sebelum ditutup), adalah dijangka pelantikan Abdul Aziz bertujuan untuk mengembalikan kembali syarikat bermasalah tersebut kepada landasan keuntungan.
Rata-rata bekas kakitangan Utusan mengucap tahniah dan mendoakan Abdul Aziz berjaya dalam misinya di syarikat barunya kali ini dan berusaha menjaga kebajikan kakitangan dengan baik walaupun tidak dapat melakukannya ketika di Utusan.
Saharudin Mohd. Musthafa, bekas kakitangan Utusan Melayu yang mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) merupakan salah seorang yang meluahkan isi hati di laman Facebook peribadinya.
BERITA BERKAITAN Di depan api, di belakang duri.. Perjuangan demi pampasan bekas kakitangan Utusan Melayu
“Yang Bahagia Datuk Aziz… saya doakan Datuk jaga syarikat ini elok-elok. Berpeganglah pada prinsip yang Datuk selalu ikrar tak akan aniaya staff (kakitangan) sebab Datuk takut nak jawab di Padang Masyar nanti.
“Jangan ulangi mala petaka yang Datuk tinggalkan kepada kami lebih 800 bekas staff Utusan yang ambil pampasan dalam skim pemisahan sukarela (VSS) yang sampai skrg belum dibayar habis pampasan. Bukan sedikit Datuk. Ada setengahnya masih ada ratusan ribu tidak dibayar.
“Ada juga sahabat-sahabat yg sudah dijemput llahi tak merasa pampasan. Yang susah tak ada kerja, yang sakit pun ramai. Macam tu juga sahabat-sahabat saya yang diberhentikan tanpa pampasan yg sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, Abd Aziz telah berikrar dan berjanji akan memperbaiki keadaan Utusan tetapi sebaliknya berlaku.
Katanya, Abd Aziz juga yang telah menawarkan VSS kepada mereka namun hingga kini ‘janji hanya tinggal janji’ lebih-lebih lagi beliau juga meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) bagi menutup operasi syarikat.
“Pada hari terakhir saya dan rakan-rakan di Utusan, saya masih ingat ikrar dan janji Datuk yang dibuat seraya air mata tumpah… ‘Saya tak mau esok tuan-tuan dan puan-puan cari saya di Padang Masyar… saya takut nak jawab’.
“Namun, kami semua ditinggalkan terkontang-kanting. Semuanya buntu, tak tau nak pikiaq apa dah.
“Saya tak kata Datuk salah 100 peratus, tapi idea VSS, idea bayar pampasan secara ansuran (yang tak pernah dibuat syarikat lain) adalah idea Datuk. Dan Datuk juga yang berjanji dengan kami sehingga ramai yang terpedaya dengan janji-janji manis Datuk,” luah Saharudin.
Untuk maklumat, selain bekas kakitangan yang mengambil VSS pada 2018 belum dibayar sepenuhnya, Utusan Melayu juga masih belum membayar apa-apa pampasan kepada lebih 800 bekas kakitangan yang diberhentikan pada 2019, termasuk hutang bayaran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

