KERANA keceluparan mulutnya, penyokong kuat pembangkang, Iswardy Morni terpaksa meringkuk di dalam lokap apabila ditahan polis semalam berkaitan kenyataannya yang disiarkan melalui laman YouTube.
Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, Iswardy diberkas di rumahnya di Kajang kira-kira jam 11 malam tadi.
“Dia ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya hari ini.
Iswardy sebelum ini memuat naik video secara langsung bertajuk ‘Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun’ di Youtube rasmi miliknya.
Utusan.com melaporkan antara kenyataan Iswardy adalah: “Tuanku, bangun tak, bangun tak bangun ini. Tahu tak apa sekeliling kita kes (Covid-19) jadi 8 ribu.
“Kita tahu makan di istana itu sedap, saya tidak pernah pergi kalau dijemput masuk nak juga,” dakwanya.
Selain itu, dalam video itu, Iswardy turut membandingkan Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan kenyataan Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni tersebut tidak mewakili pendirian parti.
“Kenyataan-kenyataan beliau tidak sama sekali mewakili pendirian PKR, sebuah parti yang menjunjung dan mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi juga berkata parti hanya mengambil tindakan terhadap Iswardy selepas siasatan polis lengkap berhubung isu tersebut.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tiga kertas siasatan dibuka berikutan laporan dibuat berhubung video berkenaan.
Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

