Dr Noor Hisham Abdullah

SEBANYAK 98 kematian akibat COVID-19 dilaporkan hari ini, meningkat daripada 61 korban semalam.

Kematian tertinggi sebelum ini dilaporkan pada 26 Mei lalu dengan 63 korban.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 27 kes kematian hari ini direkodkan di Selangor dan masing-masing 14 kes di Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, turut melaporkan kes kematian masing-masing lapan kes di Kedah dan Negeri Sembilan, masing-masing lima kes di Pulau Pinang dan Sarawak dan masing-masing empat kes di Sabah dan Terengganu.

“Sementara itu, tiga kes kematian lagi di Pahang, masing-masing dua kes di Kelantan dan Melaka, serta masing-masing satu kes di Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Berdasarkan kenyataan itu, kes kematian hari ini turut melibatkan seorang remaja beruia 18 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit asma di Hospital Seremban.

Selain itu terdapat juga korban dalam kalangan invidu positif COVID-19 berusia 20-an dan 30-an walaupun majoriti kematian dalam kalangan warga emas.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu bertambah kepada 2,650 kes.

Angka korban 98 orang itu seharusnya menggerunkan ramai untuk ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apatah lagi kes harian hari ini juga mencecah 9,020 kes.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan kes aktif kini berjumlah 76,218 kes.

Baca artikel berkaitan: 9,020 kes baharu! Insaflah, duduk di rumah bantu KKM dan diri sendiri

Aliran trafik sesak, Dr Noor Hisham ingatkan petugas kesihatan sudah penat

Daripada jumlah itu, kata Noor Hisham, sebanyak 844 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 430 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

Angka berkenaan juga tertinggi pernah dilaporkan setakat ini.

“Hari ini juga menyaksikan 5,527 kes sembuh. Ini menjadikan kumulatif kes sembuh berjumlah 479,666 setakat ini,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan 23 kluster baharu COVID-19 dikesan hari ini termasuk lapan tempat kerja.

Katanya, kluster lain yang dilaporkan ialah kegamaan (tujuh), komuniti (tujuh) dan pendidikan (satu).

Negeri-negeri yang melaporkan kluster baharu ialah Sarawak, Selangor, Johor, Melaka, Kelantan, Labuan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Pahang.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram