Tragedi itu bermula pada pagi 28 Jun 1914. Pasangan diraja, Franz Ferdinand bersama isterinya ditembak mati sewaktu berada dalam kereta ketika sedang mengadakan kunjungan ke Sarajevo yang ketika itu merupakan wilayah dalam kekuasaan Austria.
Franz merupakan pewaris raja Austria-Hungary. Kematiannya telah memicu pengisytiharan perang oleh Austaria terhadap Serbia yang akhirnya mencetuskan perang dunia pertama yang telah meragut lebih kurang 16 juta nyawa.

Namun, bukan kisah Franz yang hendak diceritakan, tetapi kereta berkapasiti enam penumpang yang dipandunya sewaktu ajalnya tiba. Dikatakan sejak kali pertama meragut nyawa bangsawan diraja itu, kereta ini terus menagih mangsa.
Kereta Graft & Stift 28/32 Double Phaeton ini dibina pada tahun 1910, dihasilkan oleh syarikat dari Austria, Graf & Stift. Ia direka khas dengan bumbung terbuka untuk kegunaan keluarga diraja. Asalnya ia dimiliki oleh Count Franz Von Harrach, seorang pegawai dalam pengangkutan tentera Austria. Pada hari kejadian, kereta yang asalnya berwarna merah itu dipinjamkan untuk kegunaan pasangan diraja itu melawat Sarajevo.

Diceritakan bahawa selepas kematian Franz, kereta itu digunakan oleh seorang jeneral Austria. Jeneral itu kalah dalam medan peperangan, mengalami masalah mental dan mati dalam keadaan gila. Kereta ini berpindah milik pula kepada seorang kapten ketenteraan. Sewaktu sedang memandu, dia telah melanggar dua orang petani menyebabkan keretanya terbabas dan merempuh pokok. Ketiga-tiga mereka menemui ajal.
Kereta itu kemudian menjadi milik seorang gabenor Yugoslavia, yang kemudian mengalami empat kemalangan yang turut mengorbankan sebelah lengannya. Kereta itu dibeli pula oleh seorang doktor. Dalam tempoh enam bulan menggunakannya, doktor itu terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kereta itu terbalik dan meragut nyawanya.
Seorang peniaga barang kemas membeli kereta itu. Pun tidak lama apabila dia akhirnya membunuh diri. Lalu seorang pelumba kereta bangsa Swiss membeli kereta ini. Dia mengalami kemalangan dalam satu perlumbaan dan menemui ajal.
Seorang petani berbangsa Serbia membeli kereta ini. Apabila kereta ini tidak boleh dihidupkan, dia menunda kereta itu untuk dibaiki. Entah bagaimana, tiba-tiba kereta itu tersengguk lalu meluncur dan melanggarnya, menyebabkan petani itu terbunuh.
Tiber Hirshfield merupakan orang terakhir yang menjadi pemilik kereta penagih nyawa ini. Sewaktu pulang dari majlis perkahwinan seorang rakan, Tiber memandu kereta itu bersama empat rakan baiknya. Sewaktu memecut untuk memotong kenderaan lain, kereta itu hilang kawalan menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa kesemua lima sahabat itu.
Satu demi satu kematian dikaitkan dengan kereta itu. Akhirnya, pihak berkuasa tidak membenarkan lagi kereta itu bertukar pemilik baru. Sebaliknya, kereta itu ditempatkan di sebuah muzium di Vienna untuk pameran.
Benarkah begitu? Tidak! Sebenarnya kisah tentang badi atau sumpahan maut yang melingkari kereta lama ini tidak benar. Cerita kematian selepas peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand dan isterinya hanya sengaja direka-reka.

Selepas pembunuhan waris diraja itu, pemilik asal kereta ini Count Von Harrach telah menyerahkan kereta tersebut kepada muzium tentera darat di Vienna. Kereta ini tidak dijual kepada sesiapa pun.
Habis, bagaimana kisah sumpahan kereta ini boleh wujud?
Kisah rekaan itu bermula dari buku ‘Stranger Than Science’ tulisan Frank Edward pada tahun 1959. Frank merupakan seorang pengkaji UFO, jadi banyak tulisannya berupa kajian ufologi yang ditolak oleh ahli-ahli akademik.

Fakta sebenarnya, pemilik asal kereta ini telah menyerahkan kereta ini kepada muzium tentera darat dan tidak menjualnya kepada sesiapa.
Sewaktu Perang Dunia ke 2 pada 1944, kereta ini hampir musnah apabila kawasan muzium dibedil bom.
Pada tahun 1950-an, kereta ini dibaik pulih semula dan dipamerkan semula di muzium pada tahun 1957, bersama-sama dengan pakaian Franz Ferdinand sewaktu beliau dibunuh beserta barangan lain berkaitan peristiwa pembunuhan tersebut.
Kisah sumpahan yang melingkari kereta ini hanya rekaan semata-mata. Namun memang benar, kereta ini salah satu saksi yang menjadi punca tercetusnya Perang Dunia Pertama yang telah mengorbankan jutaan nyawa.
Kereta ini masih dipamerkan di muzium untuk tatapan generasi baru.
___________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

