Krisis ekonomi dunia yang melanda Amerika pada 1929 benar-benar membuat lelaki itu terduduk. Dia hilang kerja, kereta dan rumahnya terpaksa digadaikan. Wang simpanan kian menipis.
Hidupnya semakin susah. Bagaimana hendak menanggung isteri dan anak-anaknya kelak. Puas dia ke sana ke mari, bertanya jika ada peluang kerja. Tetapi, hampa. Kejatuhan ekonomi yang parah menutup peluang pekerjaan.
Lelaki itu tertekan, kerap duduk termenung seorang diri. Kerana kecewa, dia meminta si isteri meninggalkannya. Baginya, dia tidak mampu lagi untuk menjadi suami yang baik.
Dalam senyum, si isteri tetap sabar di sisinya. Berusaha membuat si suami tertawa dan sentiasa menanamkan dalam jiwa lelaki itu bahawa impiannya untuk berjaya tidak mustahil berlaku.
Pada waktu malam, untuk menghilangkan tekanan, lelaki itu bermain sebuah papan permainan berkaitan jual beli hartanah. Bersama si isteri, mereka pura-pura menjadi golongan jutawan yang mampu membeli hartanah dan membangunkannya di atas papan permainan tersebut.
Daripada situ, lelaki itu mula mendapat idea. Dia mula mencipta sebuah papan permainan hartanah yang diilhamkan sendiri dengan banyak penambahan lain. Dia turut memasukkkan unsur-unsur baru seperti penggunaan kad, pembelian rumah, gedung, hotel dan sebagainya.
Lelaki itu mencipta sistem ekonomi melibatkan pembelian, penyewaan dan pertukaran hartanah menggunakan wang mainan dalam rekaannya itu. Isteri dan anaknya turut membantunya melukis dan mewarna lakaran konsep permainan yang direkanya itu.
Dengan bantuan seorang rakan yang mempunyai mesin cetak, lelaki itu mencetak lakaran permainan itu pada kadbod dalam kuantiti yang kecil dan menjual permainan itu di sebuah pasar raya di Philadelphia. Ia mendapat sambutan.
Kerana yakin dengan idea papan permainan yang diilhamkannya, lelaki itu cuba menawarkan kerjasama dengan Parker Brothers, sebuah syarikat besar yang memasarkan beberapa papan permainan di pasaran. Tetapi, tawaran lelaki itu ditolak kerana beranggapan produk yang dipatenkannya tidak mungkin akan laku.
Tidak mengaku kalah, lelaki itu menggunakan semula wang hasil jualan permainannya di sebuah pasar raya kecil sebelum itu sebagai modal untuk memasarkan lebih banyak papan permainan itu ke serata tempat.
Melihat sambutan yang mengejutkan dari pembeli, akhirnya Parker Brothers akur dan sedia bekerjasama dengan lelaki tersebut. Pada tahun 1935, akhirnya permainan yang bernama MONOPOLY itu dipasarkan ke serata tempat dan jadi hit di pasaran.

Sebanyak 20 ribu set papan permainan dihasilkan setiap minggu, menjadikan ia salah satu papan permainan yang terlaris jualannya di Amerika sebelum berkembang ke seluruh dunia. Malah turut diiktiraf antara produk permainan terbaik di dunia. Ia dipasarkan ke lebih 100 negara dan turut diterjemahkan dalam hampir 40 bahasa.
Oh ya, hidup lelaki itu juga berubah. Daripada jatuh miskin dan berdepan kesukaran hidup, dia berubah menjadi kaya raya. Bergelar jutawan pertama untuk golongan pereka alat permainan. Nama lelaki itu, Charles Darrow.
Walaupun Charles sudah meninggal pada 29 Ogos 1967, legasi Monopoly (nama yang diambil sempena konsep monopoli dalam teori ekonomi) tetap berkembang sehingga ke hari ini.

________
Baca juga kisah : Ia bermula dari sebuah dapur kecil
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram.

