ABU Zakaria adalah seorang ulama zuhud. Suatu ketika, beliau telah ditimpa penyakit yang amat teruk. Semasa berada dalam keadaan nazak, Abu Zakaria didatangi para sahabatnya. Mereka mengajar Abu Zakaria mengucap dua kalimah syahadah.

Ketika kali pertama dibisikkan kalimah syahadah, Abu Zakaria memalingkan mukanya. Beliau tidak mengucapkan apa yang diajar tadi.

Kejadian ini mengejutkan sahabat-sahabat Abu Zakaria. Mereka hairan kerana Abu Zakaria adalah seorang yang sangat alim dan tekun melakukan ibadah. Mustahil orang zuhud dan mengabdikan seluruh hidupnya kepada Allah enggan mengucapkan kalimah syahadah.

Nafas Abu Zakaria semakin  sesak. Matanya terpejam. Melihat keadaannya yang berada di ambang sakaratulmaut, sekali lagi para sahabat mengajar Abu Zakaria mengucap. Namun Abu Zakaria tetap mendiamkan diri dan memalingkan wajahnya, enggan mendengar kalimah Allah.

Keadaan Abu Zakaria itu menimbulkan rasa hairan di hati sahabat-sahabatnya. Apa yang sedang berlaku padanya? Adakah dia enggan mengakui keesaan Allah dan kerasulan Muhammad s.a.w.?

Para sahabat Abu Zakaria tidak berputus asa, sekali lagi mereka mengajarnya mengucap syahadah.

Kali ini Abu Zakaria bukan sekadar menunjukkan rasa benci, malah tiba-tiba berkata, “Aku tidak akan mengucapkan itu!” Para sahabatnya menjadi semakin terkejut dan tergamam.

Masa berlalu, dengan izin Allah, keadaan Abu Zakaria pulih semula setelah bertarung dengan maut selama satu jam. Apabila dirinya tenang kembali, perlahan-lahan Abu Zakaria membuka mata dan bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Adakah kalian telah berkata sesuatu kepadaku?”

“Ya! Kami telah mengajar kamu mengucap kalimah syahadah sebanyak tiga kali, tetapi kamu memalingkan mukamu sebanyak dua kali, dan untuk kali yang ketiga, kamu mengatakan kamu tidak akan mengucapkannya!” jawab salah seorang sahabat.

“Kenapa kamu kata begitu, wahai Abu Zakaria?” tanya seorang sahabat yang lain.

Abu Zakaria memberitahu, “Sebenarnya ketika aku nazak sebentar tadi, iblis telah datang kepadaku. Ia berdiri di sebelah kananku sambil menghulurkan semangkuk air itu dan berkata, ‘Apakah engkau memerlukan air? Jika engkau mahukan air ini, katakanlah bahawa Isa itu anak Allah’.

“Lalu aku memalingkan mukaku dan iblis sekali lagi mengulangi permintaannya. Sekali lagi aku memalingkan mukaku. Untuk kali yang ketiga, iblis berkata ‘Katakanlah, tidak ada Tuhan. Maka aku menjawab dengan ucapan `Tidak! Aku tidak akan mengucapkan itu!’ Setelah itu, iblis membaling mangkuk air itu ke lantai lalu berlari meninggalkan aku.

“Sebenarnya aku menolak kepada iblis bukan kepada kalian semua. Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya.”