KERAJAAN bersetuju untuk menambah kadar Geran Khas Prihatin atau GKP daripada RM500 kepada RM1,500 melalui Matlamat Ketiga Program strategi Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan Plus (Pemerkasa Plus) iaitu Menyokong Kelangsungan Perniagaan yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini.
Perdana Menteri berkata, melklui langkah itu hampir 1 juta Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan perusahaan mikro akan menerima RMI ,000 pada pertengahan bulan Jun dan RM500 lagi akan disalurkan pada bulan Julai.
” Saya juga ingin tegaskan, berdasarkan SOP terbaharu yang diumumkan, Kerajaan masih membenarkan operasi jual-beli peniaga kecil, penjaja jalanan dan termasuk perusahaan mikro.
Oleh itu, sekiranya para peniaga ingin mendapatkan pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak RM1.5 bilion disediakan bagi sepanjang tahun ini oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah 3 peratus.
”Selain itu, bagi membantu aliran tunai syarikat dan PKS, institusi perbankan akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman. Dana institusi perbankan telah dimantapkan lagi melalui pelbagai fasiliti pinjaman mudah PKS pembiayaan BNM yang masih berbaki RM5 bilion.
Untuk menyokong lagi PKS, BNM akan menambah fasiliti Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar untuk PKS terjejas sebanyak RM2 bilion. Dengan itu, jumlah dana pinjaman untuk PKS dengan kadar pinjaman serendah 3.5 peratus yang masih tersedia adalah sebanyak RM7 bilion,’’ katanya dalam perutusan khas.

Bantuan One-Off RM500 kepada pemandu pelancong, teksi, bas, e-hailing
Selain itu, kata Perdana Menteri, tidak dinafikan semasa tempoh PKP, ia turut memberi kesan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.
”Bagi mengurangkan beban mereka, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas secara one-off sebanyak RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, 40,000 pemandu teksi, 11,000 pemandu bas sekolah, 4,000 bas persiaran dan 62,000 pemandu kereta sewa dan e-hailing. Bantuan ini akan disalurkan kepada penerima yang berdaftar pada bulan Julai,’’ katanya.
Sebagai salah satu usaha mengurangkan beban perniagaan, Muhyiddin berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mempertimbangkan rayuan pengenaan penalti dan menangguhkan pembayaran penalti ke tahun 2022 serta menyediakan penjadualan semula bayaran cukai tertunggak bagi pembayar cukai dan perniagaan yang terjejas.
”Suruhanjaya Syarikat Malaysia juga bersetuju untuk memperkenalkan semula pelanjutan untuk penghantaran penyata kewangan, pelaksaaan mesyuarat tahunan bagi syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia dan moratorium denda bagi penghantaran Iambat dokumen berkanun.
SSM juga akan mengecualikan bayaran lewat untuk membaharui lesen perniagaan sehingga 31 Disember 2021 bagi PKS mikro serta perniagaan milikan tunggal dan perkongsian,’’ katanya.
Di samping itu, kata beliau, Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 atau Akta 829 akan ditambahbaik bagi membantu individu dan perniagaan yang terkesan. Perlindungan berkaitan ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontrak akan dilanjutkan tempoh kuatkuasa sehingga 31 Disember 2021.
”Sehubungan ini, Kerajaan menyediakan bantuan perkhidmatan pengantaraan atau mediation secara percuma melalui Pusat Mediasi COVID kepada semua individu atau perniagaan tanpa mengira latar belakang,’’ katanya.
Perdana Menteri juga mengumumkan, kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik kepada sektor yang terjejas. Sehubungan itu, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik sebanyak 10% selama 3 bulan tambahan antara bulan Julai hingga September 2021.
”Kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh 6 bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurangkurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.
Selain itu, pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel yang diumumkan sebelum ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021 masih berterusan,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, semasa pembentangan pakej PENJANA pada Jun 2020, kerajaan telah mengumumkan pengecualian duti setem Kempen Pemilikan Rumah atau HOC yang akan berakhir pada hari ini, 31 Mei justeru kerajaan bersetuju melanjutkan pengecualian duti setem HOC tersebut sehingga 31 Disember 2021.
”Kerajaan juga bersetuju melanjutkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang CKD dan CBU import yang sebelum ini diumumkan di bawah inisiatif PENJANA mulai 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2021,’’ katanya.

