Negara kini dalam peperangan – maksud peperangan ni bukanlah secara fizikal tetapi menentang musuh yang tidak nampak iaitu virus Covid-19.

Sejak lebih setahun lalu, segala sumber yang ada khususnya melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digunakan habis-habisan. Pada masa sama kekuatan lain juga dikerahkan khususnya melibatkan pasukan keselamatan sama ada PDRM ATM mahupun agensi penguatkuasaan lain.Mereka berkorban siang dan malam.

Di satu pihak lain pula kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memerah otak sepanjang masa bagi menangani situasi luar biasa ini.

Tetapi malangnya ketika saat-saat getir begini wujud pula beberapa kelompok manusia yang penulis anggap ‘tahu tapi buat-buat tak tahu’.Tindak tanduk mereka bukan sahaja memualkan malah kadang kala sudah sampai ke tahap ‘menyampah’.

Kelompok pertama : Hanya tahu mencari salah

Kelompok ini cukup ketara dalam kalangan sesetengah ahli politik. Dendam politik yang membara menyebabkan kelompok ini wujud. Penulis tak perlu nyatakan siapa mereka. Siapa makan wasabi, dialah rasa pedasnya.

Kita faham negara ini mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh mengkritik dan memberi pandangan tetapi kalau apa sahaja yang kerajaan buat semuanya tak betul seolah-olah mereka sahaja yang pandai… susahlah.

Dalam berhadapan dengan pandemik ini kerajaan berusaha melakukan apa sahaja bagi mengekang penularan Covid-19. Sementara penguatkuasaan dilakukan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 termasuk pelaksanaan PKP yang kini sudahpun memasuki PKP 3.0 kebajikan rakyat tidak dipinggirkan.

Justeru kerajaan memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan dan program bantuan bagi mengurangkan beban rakyat.Tetapi bagi kelompok yang hanya tahu mencari salah, mereka bukannya menghargai apa yang kerajaan buat sebaliknya mereka mencari kelemahan.

Tidak ada satupun yang mendapat pujian apatah lagi disokong ada sahaja yang dibangkitkan bagi memainkan sentimen dalam kalangan rakyat.Tujuan mereka bukannya mahu membela rakyat sangat tetapi lebih kepada kecenderungan untuk mewujudkan persepsi kerajaan gagal.

Walaupun mereka tahu kekangan dihadapi oleh kerajaan termasuklah dari segi kewangan namun mereka buat tak tahu. Apa yang penting bagi mereka ialah mencetus perasaan tidak puas hati rakyat kepada kerajaan.

Tetapi mereka lupa tidak semua apa yang mereka katakan itu akan mempengaruhi rakyat apatah lagi kalau ‘seseorang itu dilihat ada masalah’. Akhirnya orang akan faham keikhlasan kerajaan dalam membawa negara keluar daripada ancaman pandemik tersebut.

Lagipun ada orang tua-tuan kata “kalau kita tengok apa sahaja orang lain buat salah dan tidak ada kebaikan, kita hakikatnya ada masalah. Masalah apa? Masalah hati tak bersih…itu saja..

Kelompok Kedua – ‘Kelab Suara Puaka Mak Teh’

Ini golongan antivaksin. Bermacam-macam propaganda mereka sebarkan sehingga sanggup bersekongkol dengan ‘suara puaka Mak Teh’ yang membuat dakyah ramai jururawat mati selepas mengambil suntikan kedua vaksin.

Dakyah itu disebarkan dengan begitu menyakinkan sehingga ada yang terperdaya. Paling malang turut menyertai ‘kelab mak teh’ ini seorang dua bertaraf ustaz dan doktor. Ada seorang Ustaz tu dakwa, siapa yang ambil vaksin akan mati dalam tempoh dua tahun lagi…tu dia hebat Ustaz, kan mana dia dapat maklumat tu tak tahu lah.

Walaupun vaksin yang diedarkan disahkan selamat dan halal tetapi puak-puak ini tetap menyebar kepercayaan songsang mereka untuk mempengaruhi orang ramai khususnya orang Melayu supaya jangan mengambil suntikan vaksin.

Kesudahannya ia menyulitkan usaha kerajaan untuk menarik rakyat khususnya di luar bandar untuk mengambil suntikan tersebut. Sebenarnya kelompok ini tahu..tak kan kerajaan mahu menggadaikan nyawa rakyatnya dengan mengambil bekalan vaksin yang tidak selamat?

Tak kanlah alim ulama seluruh dunia membuat keputusan sembrono untuk menyokong pelaksanaan program suntikan vaksin.Kelompok itu tahu tetapi mereka buat-buat tak tahu kerana apa? Sebab fikiran mereka ‘ada masalah’.

Kelompok ketiga – Degil tak tentu hala

ini kelompok yang paling banyak menyusahkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19. Mereka degil tidak mahu mematuhi SOP.

Bagi mereka,SOP hanya menyusahkan sedangkan seluruh dunia mengamalkan SOP yang sama. Kalaupun mereka rasa kebal daripada virus tu tak payahlah menyusahkan orang lain, jika tak mahu ikut SOP pi duduk dalam hutan.

Pendedahan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa terdapat 200,000 orang ‘curi-curi’ balik kampung sambutan Aidilfitri telah membuktikan ramai manusia degil.

Tak faham kenapa nak sangat berhari raya di kampung ketika Covid-19  ‘menggila’. Kerajaan bukan suka-suka mahu menghalang orang ramai  balik kampung tetapi kita masih diancam wabak cukup bahaya.

Kita sendiri tak tahu sama ada kita ada virus itu atau tidak, apatah lagi sekarang ini sudah tidak ada simptom. Itu pun ada seorang dua ahli politik mungkin mahu mencari populariti mendesak kerajaan membenarkan orang ramai balik kampung, sekarang lihatlah apa berlaku?

Anggota polis memeriksa documen perjalanan seorang pemandu dalam satu sekatan jalan raya sempena PKP 3.0.

Dalam keadaan tidak dibenarkan pun beribu-ribu kes dicatatkan sebab kelompok degil yang pulang juga menyambut hari raya, apa akan jadi kalau balik kampung dibenarkan?

Kedegilan mereka menyusahkan orang lain kerana mereka mungkin membawa virus Covid-19 itu, tak pasal-pasal ada  orang lain terjangkit. Tak berasa berdosa ke, jika disebabkan kita ada yang meninggal dunia?

Kelompok ini tahu apa yang mereka lakukan salah tetapi tetap buat juga… kerana apa? Kerana mereka suka buat apa yang orang larang.

Kelompok keempat – Sebar berita palsu

Bagi penulis, orang yang melakukan perbuatan ini ada masalah mental. Kalau ‘fikiran waras’ tidak mungkin mereka akan berbuat demikian. Mereka seronok bila berita palsu yang disebarkan tular.

Ia seolah-olah satu hiburan kepada mereka apabila pihak berkuasa terpaksa membuat penjelasan atau penafian. Kelompok ini semakin berkembang selari dengan perkembangan media sosial.

Tambahan pula, ada dalam kalangan  rakyat kita yang malas berfikir kemudian turut menularkannya dengan nota ‘tak pasti betul ke tidak’. – Orang dah cakap kalau tak pasti jangan sebarkan!

Dalam surah Al-Hujurat ayat 6 Allah SWT sudah memberi peringatan supaya kita selidikilah kebenaran sesuatu berita yang tidak diterima. Kewujudan kelompok yang suka menyebar berita palsu ini sudah banyak mengganggu ketenteraman awam dan mereka tahu perbuatan itu salah tetapi mereka buat juga, kenapa?  Kerana mereka sama seperti watak filem Joker – suka tengok orang lain menderita.

Inilah empat kelompok yang merimaskan ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19. Walaupun mereka mungkin daripada kelompok berbeza tetapi ada mereka ada satu persamaan – tahu buat-buat tak tahu, walaupun ada antara mereka bagaikan ‘ayam jantan berkokok kuat, ekor bergelumang dengan najis’..