SUSULAN perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan, pihak Astro Prima dan syarikat produksi Global Station Sdn. Bhd., mengambil keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama adaptasi Hati Yang Dikhianati atau HYD yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 6.00 petang berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini sekaligus memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang juga terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula Isnin depan, 7 Jun 2021.

HYD mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan drama tersebut. Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Drama HYD diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar. Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam Noor serta ramai lagi.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, demi keselamatan bersama dan langkah berwaspada untuk mengelakkan sebarang risiko dan masalah jangka panjang, pihaknya akur dengan perlaksanaan sekatan skala penuh yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Melihat kepada peningkatan kadar kes aktif semasa yang kini berada di peringkat kritikal, keputusan tersebut tidak mengejutkan dan sudah dijangka awal.

“Selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama HYD berkuatkuasa serta merta ini juga merupakan sebahagian daripada usaha proaktif kami untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Pihak Astro kini dalam usaha menyusun jadual baharu untuk sambungan drama tersebut dan masih belum boleh berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenainya kerana perlu mengambil kira situasi semasa pandemik. Selain aspek keselamatan, faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi, kesesuaian tarikh dan garis masa, syarat SOP yang lebih ketat dan sebagainya perlu dipertimbangkan.

“Pengalaman menghadapi situasi sebegini sejak arahan PKP 1.0 dikeluarkan Mac tahun lalu amat membantu kami membuat persediaan awal sekiranya ia berulang kembali. Walaupun drama HYD tidak dapat diteruskan menerusi slot Tiara mengikut perancangan asal, drama terbaharu Derita Untuk Bahagia yang bakal kami pertaruhkan untuk mengisi kekosongan slot tersebut juga tidak kurang hebatnya,” katanya.

Derita Untuk Bahagia akan mengisi slot Tiara bagi menggantikan drama Hati Yang Dikhianati

Sementara itu, pengarahnya, Ejump Mohd, bersyukur dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang amat profesional dan mempunyai chemistry yang baik.

“Suasana di set penggambaran juga amat seronok dan hubungan kami rapat seperti sebuah keluarga. Walaupun kami diuji dengan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran dijalankan, namun saya berasa beruntung kerana dikurniakan sebuah pasukan yang amat komited dan cukup membantu.

‘Selain berdepan dengan dua kali perlaksanaan fasa PKP, kami juga terpaksa menangguhkan penggambaran selama 40 hari, kehilangan lokasi, pertukaran di saat akhir dan sebagainya. Walaupun penuh kekangan, pengalaman tersebut amat manis dan cukup bermakna kepada perjalanan karier saya sebagai pengarah.

“Para peminat drama tempatan perlu menonton drama ini kerana ia sarat dengan elemen yang cukup dekat dengan masyarakat kita seperti kekeluargaan dan persahabatan. Selamat menonton!,” ujarnya.

Drama bersiri Derita Untuk Bahagia akan mengambil alih slot tersebut dan akan ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini, pukul 6 petang di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.