Moratorium 2.0 untuk semua, Pemuda UMNO gesa kerajaan guna kuasa darurat

Dari Penulis

PEMUDA UMNO menggesa kerajaan memanfaatkan sepenuh kuasa di bawah darurat bagi memastikan bank memberikan moratorium pinjaman selama tiga bulan secara automatik kepada semua tanpa terhad kepada golongan B40 sahaja.

Moratorium 2.0 itu, kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bagi meringankan beban rakyat sekaligus menjamin ketenangan dan kesihatan mental rakyat sepanjang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘total lockdown’.

Untuk tujuan tersebut, Dr Asyraf memberikan tujuh rasional dan justifikasi ekonomi kewajaran moratorium 2.0 tanpa sebarang caj atau faedah tambahan terhadap penangguhan ansuran pembiayaan yang diberikan kepada rakyat.

Pertama: Memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas akibat perlaksanaan ‘total lockdown’ hingga menyebabkan ekonomi negara turut terkesan teruk akibat penurunan drastik perbelanjaan isi rumah terutamanya dalam membiayai keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti (Elektrik, Air dan Internet).

Rata-rata berhadapan dengan masalah tunai akibat simpanan yang merosot teruk berbanding PKP 1.0 dahulu akibat PKP yang berpanjangan sebelum ini.

Kedua: Penangguhan bayaran ansuran pinjaman bank juga dapat mengelakkan daripada berlakunya fenomena kemuflisan akibat kejatuhan teruk pendapatan syarikat-syarikat PKS, golongan bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap termasuk M40 akibat pandemik Covid-19 berpanjangan.

Ketiga: Fenomena Muflis dalam kalangan rakyat akibat pendapatan yang terjejas dan ketidakupayaan membayar ansuran pinjaman/pembiayaan bank akan menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi negara sekaligus memberi kesan langsung terhadap operasi dan tahap kestabilan institusi perbankan dan kewangan tempatan.

Keempat: Penawaran moratorium mampu menjamin kestabilan sistem kewangan (financial stability) sekaligus mengelakkan bank-bank berhadapan dengan fenomena ketidakupayaan pelanggan membayar balik hingga membawa kepada peningkatan kadar NPL (Non-Performing Loan) atau Pinjaman Tak Berbayar.

Baca artikel berkaitan: 3 kuasa kerajaan boleh arah bank beri moratorium -Asyraf

Dr Asyraf Wajdi menyenaraikan tujuh rasional kenapa moratorium 2.0 perlu diberi kepada semua.

Kelima: Keupayaan institusi perbankan tempatan menyerap sebarang potensi kejutan pasaran (market shock) masih berada pada tahap yang kukuh sebagaimana piawai antarabangsa (IMF) dan Bank Negara Malaysia. Institusi perbankan tempatan mempunyai tahap modal yang sihat dan mampu mendukung aliran kredit ekonomi negara berdasarkan Nisbah Modal Keseluruhan (Total Capital Ratio) di tahap 18.1% melebihi dari keperluan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu minima 8% dengan Lebihan Modal Penampan (Capital Excess Buffer) mencecah RM126.3 bilion pada Februari 2021.

Keenam: Tahap kecairan (liquidity) bank-bank tempatan juga berada dalam keadaan yang sihat berdasarkan laporan Tahap Liputan Kecairan (Liquidity Coverage Ratio) BNM bagi sistem perbankan negara iaitu pada 145.1% dan melebihi keperluan minimum 100% walaupun melaksanakan Moratorium 1.0 ketika PKP 1.0. Walaupun terdapat peningkatan pada Peruntukan Kerugian Kredit (Provision for Credit Losses) sistem perbankan negara dari bulan ke bulan, ia tetap hanya 1.8% dari jumlah keseluruhan pembiayaan (pinjaman) sistem berjumlah hampir RM1.85 trilion.

Ketujuh: Perlaksanaan moratorium 1.0 terdahulu juga ternyata tidak menjejaskan keupayaan institusi perbankan menjana keuntungan. Bank-bank tempatan baru mengumumkan keuntungan selesa bagi Suku Pertama Tahun 2021 seperti contoh Maybank (RM2.39 billion), Public Bank (RM1.53 billion), Hong Leong Bank (RM2.17 billion) RHB Bank (RM650.39 juta), Bank Islam (RM202.46 juta) dan Affin Bank (RM68.94 juta).

Dalam pada itu, Pemuda UMNO juga menggesa kerajaan mengarahkan agensi-agensi pembiayaan dan kredit milik Kerajaan yang memberi fokus kepada golongan B40 dan Perusahaan Mikro seperti MARA, TEKUN, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), SME Bank dan lain-lain untuk melaksanaan moratarium bagi peserta-peserta program mereka.

“Pengalaman pelaksanaan moratarium pada PKP 1.0 boleh dijadikan ASAS untuk pelaksanaan moratarium ‘Total Lockdown’ yang lebih efisien sekaligus membantu rakyat yang berhadapan dengan keadaan yang sulit sepanjang ‘total lockdown’ yang dilaksanakan,” katanya.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

12 individu ditahan merusuh di parkir beli-belah di Cheras

POLIS menahan 12 individu warga tempatan bagi membantu siasatan satu kes pergaduhan dan rusuhan di kawasan parkir pusat beli-belah...

More Articles Like This