TERUK dihentam gara-gara menerima suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) dua hari lalu di Ideal Convention Centre Shah Alam, pelakon Nabila Huda tampil mempertahankan diri.

Sebelum ini, netizen mempersoalkan tindakan Nabila yang mendapatkan vaksin sedangkan dia baharu sembuh daripada wabak Covid-19 kurang dari tempoh tiga bulan.

Perkongsian gambarnya di Instagram mendapat reaksi negatif warganet yang menuduh anak penyanyi rock legenda,Amy Search itu seorang yang mementingkan diri dan telah memotong barisan orang lain.

Enggan terus dirinya menjadi sasaran salah faham orang ramai sekaligus membangkitkan kebencian, Nabila menafikan sekeras-kerasnya dia menggunakan ‘orang dalam’ untuk mendapatkan suntikan vaksin terbabit.

“Ada yang mesej langsung (DM) kata saya guna ‘kabel’ sebab golongan kayangan lah, pentingkan diri lah, hubungi orang dalam percepatkan vaksin dan pelbagai fitnah yang mengguriskan hati saya.

“Sampaikan saya pula jadi bersalah sedangkan saya tak salah apa-apa pun. Saya pergi ikut tarikh ditetapkan dan tak potong barisan pun.

“Saya beritahu jujur pada doktor status saya, kemudian dia minta saya terus ke bilik untuk ambil suntikan vaksin AZ,” ujarnya.

Perkongsian gambar yang dimuat naik menerusi Instagram miliknya bukanlah bertujuan untuk menyakiti hati orang lain tetapi ia lebih kepada mahu memberi kesedaran kepada bekas pesakit Covid-19.

“Saya memuat naik gambar sudah divaksin bukan niat nak menyakiti hati orang, tetapi nak kongsi kesedaran. Saya dapat vaksin sebulan selepas sembuh Covid-19 dan boleh bagi semangat pada anda yang mungkin tak perlu tunggu berbulan-bulan macam dihebohkan.

“Tapi jadi lain pula. Tak mengapalah, saya maafkan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengemaskini maklumat pada 31 Mei.

“Kepada mereka yang marah dengan saya semalam yang sampai sanggup cari semula perbualan di Twitter pada 25 Mei, macam mana boleh terlepas pandang maklumat dari KKM?” katanya.

Nabila atau Nabila Huda Suhaimi,37, turut menyelar tindakan netizen yang lebih gemar membuat fitnah tanpa usul periksa.

“Selain daripada kita sibuk dengan Instagram atau TikTok nak tengok perkembangan kehidupan orang, ringankan tangan untuk tengok juga perkembangan terkini sebelum fitnah orang. Yang sudah dapat suntikan patut bersyukur saja bukan mempersoalkan.

“Samalah macam masa saya positif Covid-19, saya cakap kena jangkitan disebabkan kecuaian orang tapi anda kutuk cakap tak payah salahkan orang inikan ujian dari Allah, kita kena reda.

“Orang itu dah terpilih, Allah bagi rezekikan Yang mana kawan-kawan dan pengikut saya yang belum dapat vaksin atau masih menunggu tarikh, saya doakan anda akan dapat secepat mungkin okay.

“Yang pernah positif dah tak payah tunggu lama-lama. Berita baik untuk semua pejuang Covid-19…tapi apa-apa pun kena tanya doktor juga masa konsultasi okay,” tuturnya.