Usah buat spekulasi, pembangkang jangan seronok sangat

Dari Penulis

ANALISIS

APABILA tersebarnya berita bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap ketua-ketua parti politik, maka spekulasi pun bertebaran.

Majlis menghadap hari ini dimulai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ia menjadi rutin mingguan bagi Perdana Menteri untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka mengenai pentadbiran kerajaan dan situasi semasa negara sebelum mesyuarat Kabinet diadakan pada Rabu.

Difahamkan yang akan turut menghadap hari ini ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu. Esok bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad dijangka menghadap.

Apapun majlis tersebut mendapat perhatian. Ada ahli politik membuat kenyataan dengan menggunakan ayat ‘akhirnya rakyat terpaksa mengetuk pintu istana’, ada yang bercakap soal kerajaan perpaduan dan ada yang membuat telahan lebih hebat bahawa pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan berakhir.

Dan paling seronok ada pula yang mencadangkan supaya pemimpin mereka dilantik menjadi Perdana Menteri dan mahukan pilihan raya diadakan.

Gambaran yang cuba diberikan ialah seolah-olah negara itu sudah tenat sangat, kerajaan sedia ada sudah tidak berfungsi lagi, negara ini sedang menuju kehancuran, rakyat dalam bahaya, kerajaan tak buat apa-apa dalam menangani pandemik Covid-19. Begitulah sikap ahli politik.

Mereka membuat tafsiran sendiri dan mengikut nafsu politik sendiri apabila membicarakan soal majlis menghadap itu. Hakikatnya merekapun tidak tahu apa yang dibincangkan dan apa yang akan berlaku selepas pertemuan tersebut.

Tetapi orang politik yang kononnya melaungkan berjuang untuk rakyat hanyalah mengharapkan mereka akan mendapat sesuatu hasil daripada majlis menghadap itu. Gelora politik mereka sudah dapat ditahan lagi.

Tiada siapapun berhak membuat tafsiran di sebalik majlis tersebut. Penulis tidak mahu membuat spekulasi, biarlah kita sama-sama menanti kenyataan daripada Istana Negara apabila tiba masanya. 

Faktanya, kita masih belum keluar daripada ancaman pandemik Covid-19 kerajaan ketika ini sedang bertungkus lumus melakukan pelbagai usaha untuk mengekang penularan wabak tersebut, tetapi malangnya ada politik yang terus mencanangkan kerajaan gagal menangani pandemik tersebut.

Kenyataan dan dakwaan yang buat seolah-olah kerajaan sudah lumpuh, kerajaan sudah ‘mati akal’ dan kerajaan sudah buntu dalam berhadapan dengan wabak tersebut. Pelbagai hujah mereka keluarkan untuk dibenamkan dalam fikiran rakyat bahawa kerajaan sudah tidak berkemampuan lagi.

Maka pada pandangan mereka biarlah kerajaan perpaduan ditubuhkan, biarlah pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri, biarlah pilihan raya diadakan! Soalnya adakah itu akan menghapuskan dengan serta merta wabak Covid-19 yang tengah mengganas ketika ini?

Wajarkah negara diseret terjebak dalam satu lagi krisis? Apakah akan berlaku kepada segala perancangan memerangi Covid-19 yang sedang rancak dilaksanakan oleh kerajaan? Apakah semuanya akan kembali ke asal? Kena buat perancangan semula?

Ini semua tidak difikirkan ahli-ahli politik yang seronok sangat bila Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap ketua-ketua parti. Yang mereka fikirkan ialah kepentingan politik mereka sahaja. Tidak payahlah bercakap kononnya apa yang dilakukan untuk rakyat, tak usahlah merintih soal kasihani rakyat, – semua itu hanya retorik!

Kalau mereka fikirkan soal rakyat, mereka tidak akan mengganggu usaha kerajaan dalam memerangi Covid-19 sebaliknya mereka akan bersama kerajaan. Yang mana ada kelemahan mereka akan tegur, yang mana baik mereka minta perkukuhkan.

 Ini tidak…semua usaha kerajaan diperlekehkan, semua langkah kerajaan dianggap tidak betul, tak cukup dengan itu cuba pula wujudkan keraguan soal kontrak pembelian vaksin dan lain-lain.

Tidak kiralah apapun mimpi-mimpi ahli-ahli politik terhadap majlis menghadap yang akan berlangsung, tetapi yang pasti sekarang bukan masa berpolitik dan sekarang bukan masa mencetuskan pergolakan politik atau ketidakstabilan politik, sekarang adalah masa untuk berganding bahu menumpaskan Covid-19.

Daripada dok berkhayal soal kerajaan perpaduan, soal PRU, soal nak jadi Perdana Menteri, lebih baik turun ke kawasan masing-masing berkempen untuk rakyat menerima suntikan vaksin dan mematuhi SOP. Itu lebih berfaedah!


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anwar mohon maaf tak dapat hadir majlis penghormatan terakhir Ayatollah Ali Khamenei

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Allahyarham...

More Articles Like This