Benarkah azan saat bayi dilahirkan bukan sunnah Nabi? Ini jawapannya

0
106
azan ditelinga bayi hadis daif

Setelah sembilan bulan menunggu, akhirnya tiba masanya si isteri melahirkan bayi dalam kandungannya. Sebaik sahaja bayi dilahirkan, si suami mengambil anaknya untuk diazankan sebagaimana yang lazimnya dilakukan oleh para suami.  

Namun begitu ada pula pendapat menyatakan azan tidak perlu dilaungkan tatkala bayi dilahirkan. Hujahnya, hadis yang membicarakan mengenai azan di telinga bayi adalah  berstatus daif dan kini menjadi pula ikutan segelintir masyarakat yang sudah tidak mengamalkan laungan azan kepada bayi ketika lahir.

Daripada Abi Rafi’ beliau berkata bahawa aku menyaksikan Rasulullah s.a.w. lafazkan azan pada telinga al-Hassan (cucu Nabi) ketika beliau dilahirkan oleh Saidatina Fatimah.” – HR Abu Daud & Tirmizi

Hadis ini dinilai Hassan oleh al-Tirmizi dan disahihkan oleh al-Hakim. Namun ulama terkemudian menghukumkan hadis ini sebagai daif kerana terdapat perawi bernama Asim ibn Ubaidillah.   

Saat ditanya kepada Pensyarah Jabatan Syariah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Muhammad  Subari Ramli  jawabnya, kajian ahli hadis menyatakan, terdapat banyak komentar terhadap individu, susunan perawi atau sanad yang meriwayatkan hadis tersebut.

Tidak dinafikan dalam kalangan perawi terdapat di antara mereka dalam kategori yang kurang berautoriti malah turut dikatakan sebagai pendusta. Malah sebahagian ulama hadis menolak periwayatan dan hadis tersebut.

Kontradiksi antara amalan tradisi dan fakta ilmiah ini perlu ditangani dengan adil dan harmoni. Secara peribadinya bagi beliau sebagai langkah terbaik, adalah wajar untuk mengatakan amalan yang dilakukan selama ini bukanlah sunnah Nabi.

Hal yang demikian kerana, sunnah ini termasuk perkataan, perbuatan dan ikrar Nabi s.a.w. Jadi apabila kita menyatakan sesuatu yang Nabi sendiri tidak buat dan sebutkan, ini bermakna kita sudah buat sesuatu yang dusta dan bida’ah terhadap Rasulullah s.a.w.

Meskipun terdapat ulama yang mengharuskan beramal dengan hadis dhaif dalam perkara yang tidak melibatkan akidah dan halal haram, namun mengelak dan berwaspada dari mengatakannya sebagai sunnah Nabi adalah lebih selamat.

Azan merupakan sesuatu yang baik untuk diamalkan. Bukan sekadar syiar dan zikir yang menyeru umat Islam untuk menunaikan solat, malah  azan juga berperanan untuk mengurangkan risiko bencana seperti kebakaran, ribut dan sebagainya. 

Jadi, tidaklah  salah sekiranya kita meniatkan azan dan iqamat di telinga bayi yang baru lahir semata-mata untuk  mengambil kelebihan kalimah Allah S.W.T. tanpa menyatakannya sebagai sunnah Nabi. Alangkah baiknya jika kalimah Allah S.W.T. sebagai kalimah pertama yang diperdengarkan kepada anak.

Bukankah dengan zikir dan memuji-muji Allah juga mendatangkan pahala? Maka tidaklah salah, malah lebih baik melaungkan azan daripada tidak berbuat apa-apa dan hanya bergembira meraikan kelahiran cahaya mata baru tersebut. Setidak-tidaknya, kita mendahulukan Allah dalam semua urusan kita, mensyukuri nikmat-Nya dan mengharapkan reda-Nya.

Sebagaimana yang diamalkan sejak dahulu hingga kini, adalah digalakkan azan pada telinga kanan dan iqamat pada telinga kiri bagi bayi yang baru dilahirkan secara sederhana laungannya. Digalakkan menghadap ke arah kiblat semasa azan dan iqamat itu serta melafazkan dengan cara yang sempurna.

Dengan senario masyarakat hari ini, pendekatan yang diambil perlu sederhana, tidak terlalu ‘rigid’ dan tidak pula terlalu toleransi sehingga menjejaskan realiti ilmu, hukum dan amalan yang baik.

Jangan terus menegah tanpa memberi penjelasan. Jangan terus menghalang tanpa memberi alternatifnya. Sebagai contoh, ada yang menyatakan jangan azan di telinga bayi kerana bukan sunnah Nabi.

Memang itu benar, tetapi perlu juga dilihat kebaikan amalan tersebut dari sudut psikologi pasangan dan bayi, berbanding amalan lain yang tiada kaitan dengan zikir atau tidak berbuat apa-apa.

Tiada bapa, ibu pun boleh

Tidak kurang juga hari ini, ramai wanita yang bersalin tanpa kehadiran suami di sisi. Ada di kalangan mereka akan merasakan sesuatu yang tidak lengkap kerana si bapa tidak dapat melaungkan azan di telinga bayi mereka sebagaimana yang dihajatinya. Usah tertekan dan bersedih jika itu yang berlaku kerana ia bukan kemestian.

Kaum ibu juga sebenarnya boleh melakukan sesuatu yang berfaedah kepada bayi. Bacakanlah doa pelindung sebagai salah satu perlindungan terhadap bayi tersebut. Perbuatan ini tercatat sebagai sunnah.

Semoga dengan membacakan doa perlindungan itu, Allah melindungi bayi atau anak tadi dari sebarang perkara yang tidak diingini seperti penyakit akibat gangguan syaitan atau sebagainya.

Janganlah akibat ditinggalkan begitu sahaja, azan dan iqamat kepada bayi ini menjadi sesuatu yang asing dan pelik untuk diamalkan. Jangan sampai generasi akan datang tidak lagi menghafal azan kerana tidak melihatnya sebagai satu keperluan.

Sebaliknya hanya bergantung pada Bilal dan orang-orang masjid untuk melaungkannya kerana beranggapan ia semata-mata untuk panggilan solat. Malah lebih parah, jika sambutan kepada bayi yang baru lahir di rai dengan lagu atau mentera.

Azanlah dan iqamatlah dengan penuh khusyuk, pasrah dan mengharap. Pastikan suaranya jelas, sebutannya tepat dan lebih baik lagi bersama menghayati maknanya. Sambil azan dan iqamat, hati bapa tadi mendambakan agar Allah menjadikan telinga, mata, lidah dan seluruh anggota anak itu dekat dengan Allah dan jauh dari syaitan.

Malah orang yang hadir menziarahi juga disunatkan untuk mengucapkan tahniah sebagai satu bentuk menzahirkan kesyukuran dengan pemberian Allah S.W.T.

Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam kitabnya Tuhfatul Maudud menyatakan bahawa antara rahsia azan dan iqamat di awal kelahiran bayi adalah untuk :

  1. Mengusir syaitan yang sememangnya menanti-nanti kelahiran bayi ke dunia.
  2. Malah, azan juga merupakan seruan dakwah kepada Allah dan agamanya dapat mendahului seruan jahat syaitan apabila dikumandangkan ke telinga bayi seawal kelahirannya.
  3. Azan dan iqamat yang diperdengarkan oleh bayi akan dirakam dan kemudiannya menjadi sebahagian dari pendidikan tauhid, syariat dan akhlak.
  4. Kalimah-kalimah memuji kebesaran Ilahi yang disifatkan sebagai ucapan pertama yang meresap ke dalam hati sanubari insan yang baru lahir.
  5. Satu penyataan syariat Islam yang berperanan mendahului dakwah syaitan terkutuk dan mengekang arus nafsu syahwat.

___________________________________

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram