KETIKA negara bergelut dengan pandemik Covid-19 tetap masih ada kelompok yang tidak tahu berhenti untuk memanaskan arena politik tanah air dengan fitnah dan berita palsu.
Kelompok yang boleh dianggap mungkin menghadapi ‘masalah mental’ itu menyebarkan pelbagai berita palsu dengan tujuan bagi mewujudkan ketegangan dalam politik negara.
Hari ini tersebar surat kononnya Pas dan parti Warisan mencapai kesepakatan untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Menurut surat yang disahkan palsu itu, langkah tersebut bagi menyelamatkan negara daripada terus berada dalam krisis kesihatan dan ekonomi.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Pas, menafikan mempunyai sebarang kerjasama dua pihak dengan Warisan untuk menyokong Hishammuddin yang juga Menteri Luar bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya menafikan kenyataan tersebut dan ia telah mendapat pengesahan bahawa maklumat tersebut adalah palsu,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, perkara itu turut disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat bahawa maklumat itu adalah palsu.
Kandungan kenyataan media berkenaan terdapat tandatangan Takiyuddin dan Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr .
Sementara itu, Loretto menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut yang merupakan fitnah dan turut memalsukan tandatangannya sebagai mewakili parti.
“Saya menyangkal sekeras-kerasnya isi kandungan kenyataan bertarikh 11 Jun 2021 tersebut yang mana saya sama sekali tidak pernah sama ada bagi pihak Warisan mahupun atas kapasiti peribadi untuk mempersetujui atau menandatangani apa-apa persetujuan muafakat bersama Pas untuk menyokong mana-mana individu sebagai Perdana Menteri.
”Warisan tidak pernah terlibat dengan Kenyataan Media itu,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, perbuatan seperti ini adalah tindakan orang-orang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup memfitnah dan memalsukan tandatangan beliau.
“Saya akan membuat laporan polis selepas berbincang dengan peguam saya berkenaan perkara ini,’’ katanya.

