TRETINOIN adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.
Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.
Ini seperti bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.
Sebelum ini pun sudah beberapa produk kosmetik dikesan mengandungi bahan tersebut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Terbaharu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesan Brilliant Skin Essentials Whitening Facial Cream mengandungi tretinoin.
Sehubungan itu, katanya, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi dan ia tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Nak cerah, licin tapi awas racun perosak kulit dalam kosmetik

Menurut Noor Hisham, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Tegasnya, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” jelasnya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

