KERAJAAN memberi jaminan bahawa kesemua mekanisme yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, adalah menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh Darurat.

‘’ Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara.

‘’Selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar Kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan-tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 di kalangan rakyat di waktu-waktu yang getir ini dengan lebih efektif,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan berkata bahawa sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan. 

Dr.Noor Hisham turut berkata kini hanya Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan Darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak. 

Mengulas lanjut Takiyuddin berkata, Proklamasi Darurat yang diisytiharkan pada 11 Januari lalu oleh Yang di-Pertuan Agong adalah atas asas tanggungjawab utama dan khusus kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 bagi memastikan kepentingan dan keselamatan rakyat di dalam negara ini dapat terus dipelihara. 

‘’Oleh yang demikian, persoalan mengenai sama ada Darurat yang akan tamat pada tarikh tersebut diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang dibangkitkan tidak seharusnya timbul,’’ katanya.