KILANG degil yang tidak mengikut SOP ditetapkan MKN dan MITI diambil tindakan pihak berkuasa di Tebrau, Johor. - Gambar FB IPD JB Selatan

KEBENARAN kepada kilang tertentu meneruskan operasi ketika tempoh sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun lalu adalah bersyarat.

Bersyarat kerana ketika ini negara dan dunia sedang berdepan ancaman wabak yang cukup dahsyat.

Namun bagi mengimbangi antara keperluan ekonomi dan kesihatan, sektor terpilih dibenarkan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Antara yang ditekankan ialah kilang tersebut perlu beroperasi dalam kapasiti dibenarkan sahaja bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.

Namun, seperti mana undang-undang lain atas muka bumi ini, akan ada pihak yang ingkar walaupun ini melibatkan nyawa – nyawa pekerja, masyarakat dan mereka sendiri.

Ini seperti dikesan polis dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) hasil pemeriksaan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Tebrau 1, Johor Bahru semalam.

Pemeriksaan ke atas kilang sektor kejuruteraaan itu diketuai Ketua Polis Balai Bandar Dato’ Onn, Asisten Superintendan Mazlan Moshidi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, dalam pemeriksaan tersebut, dua wanita berumur dalam lingkungan 46 hingga 49 tahun yang bekerja sebagai Pengurus Sumber Manusia (HR) telah ditahan.

Katanya, ini kerana mereka didapati gagal mematuhi SOP PKP dengan membenarkan pekerja kilang melebihi had yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

Baca artikel berkaitan: 107 kluster tempat kerja dikesan, naik 16.3 peratus

15 lagi kluster baharu, 11 libatkan tempat kerja

Lagi kilang degil tak ikut SOP ditetapkan MKN dan MITI diambil tindakan pihak berkuasa di Tebrau semalam. / Gambar FB IPD Johor Bahru Selatan.

“Kedua-dua Pengurus HR kilang tersebut telah ditahan dan dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Selatan bagi tindakan kompaun di bawah kesalahan peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Pemilik Kilang tersebut telah dikompaun sebanyak RM10,000.00 setiap seorang,” katanya menerusi Facebook Polis Johor Bahru Selatan.

Tambah Mohd Padzil, pihak Polis IPD Johor Bahru Selatan mengingatkan kepada semua pemilik kilang supaya mematuhi segala SOP ditetapkan dalam menjalankan pengoperasian kilang masing-masing.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram