FMM sokong digitalisasi, AI dalam pengambilan pekerja asing

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

PERSEKUTUAN Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik usaha kerajaan mempertingkatkan sistem pengambilan pekerja asing melalui pendigitalan lebih meluas serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) ke arah proses yang lebih cekap, telus dan lancar.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata, peralihan ke arah platform digital dan berasaskan AI adalah tepat pada masanya memandangkan industri kini semakin memerlukan penyelesaian tenaga kerja yang lebih pantas, boleh dipercayai dan berasaskan permintaan.

Beliau berkata, peningkatan digitalisasi dan penggunaan AI berpotensi mengurangkan beban pentadbiran, menambah baik padanan pekerjaan serta menangani ketidakcekapan dalam proses pengambilan pekerja.

Katanya, ia juga mampu mengurangkan kekangan sepanjang keseluruhan rantaian bekalan tenaga kerja daripada proses sumber dan pemilihan hingga kepada kelulusan serta penempatan.

“Malaysia sudah mempunyai sistem dan proses sedia ada, justeru sebarang penambahbaikan perlu dibina berasaskan asas itu bagi mewujudkan ekosistem menyeluruh yang lebih bersepadu dan terselaras untuk majikan.

“Dalam hal ini, FMM turut menekankan bahawa sebarang penambahbaikan sistem perlu terus mengekalkan prinsip ketelusan, mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah serta memastikan struktur kos yang adil kepada majikan dan pekerja,” katanya dalam kenyataan

Menurutnya, usaha meminimumkan penglibatan perantara di kedua-dua pihak amat dialu-alukan kerana ia dapat mengurangkan risiko kejadian buruh paksa selain meningkatkan ketelusan dan integriti dalam keseluruhan proses pengambilan.

“Industri menyokong usaha mempertingkatkan sistem sedia ada dengan tumpuan kepada pengukuhan integrasi, peningkatan kecekapan serta penyelarasan antara semua kementerian dan agensi berkaitan,” katanya.

Dalam konteks itu, beliau berkata, pendekatan bersepadu secara fungsi adalah paling berkesan dengan Kementerian Sumber Manusa (KESUMA) menerajui komponen pengurusan tenaga kerja di peringkat hadapan, termasuk pengesahan permintaan, padanan pekerjaan serta penglibatan majikan.

Katanya, pendekatan itu boleh disokong melalui antara muka digital dengan negara sumber bagi meningkatkan kualiti serta kesesuaian pemilihan pekerja.

“Pada masa sama, platform sedia ada seperti Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) boleh terus memainkan peranan penting dalam proses kawal selia di peringkat belakang, khususnya berkaitan saringan keselamatan, kawalan imigresen dan pemprosesan visa di bawah bidang kuasa KESUMA.

Jacob berkata, pendekatan itu akan membolehkan pelaksanaan satu sistem tunggal yang lancar berasaskan integrasi data serta tadbir urus kukuh, sekali gus meningkatkan kebolehramalan, kecekapan dan perancangan tenaga kerja bagi industri.

Pada masa sama, katanya, mengakui potensi AI dalam meningkatkan padanan pekerjaan dan kecekapan keseluruhan sistem, namun menegaskan keberkesanannya bergantung kepada kesediaan data, integrasi sistem serta keselarasan dengan keperluan industri.

“Teknologi adalah pemudah cara. Dengan data dan integrasi yang tepat, AI boleh membantu menyediakan sistem yang cekap, telus dan responsif kepada keperluan industri,” katanya.

Beliau turut menegaskan penambahbaikan sistem pengambilan pekerja asing perlu dilaksanakan seiring dengan cadangan pelaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat yang secara konsisten disokong FMM sebagai pendekatan lebih berasaskan pasaran dan telus dalam mengurus kebergantungan kepada pekerja asing.

Menurutnya, sistem pengambilan yang lebih cekap dan diyakini, bersama mekanisme levi yang dirangka dengan baik, akan menyokong keperluan industri selain menggalakkan pelaburan jangka panjang dalam automasi, peningkatan produktiviti dan transformasi tenaga kerja.

Beliau berkata, pihaknya menantikan kerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan sistem masa depan bukan sahaja maju dari segi teknologi, malah praktikal dari segi operasi serta bersedia memenuhi keperluan sektor.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

SAR Gunung Batu Putih: Tiada petunjuk baharu, penemuan barangan bukan milik Jaslinda

PENEMUAN beberapa barangan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49 disahkan bukan...

More Articles Like This