rentas
Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memeriksa surat kebenaran rentas daerah pemandu serta penumpang kenderaan semasa bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Lebuh Raya Persekutuan. - GAMBAR: Abd Razak Aid

WALAUPUN seluruh negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Menyeluruh atau ‘total lockdown’, jumlah mereka yang ‘mencuba nasib’ untuk merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran masih agak tinggi.

Menerusi Operasi Pematuhan yang dijalankan semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada 841 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), seramai 170 individu ditahan kerana kesalahan rentas negeri/daerah tanpa kebenaran dan makan di premis.

Selain cuba merentas negeri, jumlah yang berhibur di pusat hiburan juga agak tinggi apabila 32 orang ditahan atas kesalahan melanggar SOP dengan menghadiri aktiviti pusat hiburan.

Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 99,153 pemeriksaan semalam, melibatkan 4,585 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 20,612 anggota.

Dakan operasi tersebut, seramai 841 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 821 orang dikompaun dan 20 lagi direman, katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

BERITA BERKAITAN Guna surat rentas negeri palsu untuk edar dadah, enam ditahan

Antara kesalahan direkodkan ialah:

  • Rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan di premis (170)
  • Tiada penjarakan fizikal (165)
  • Tidak memakai pelitup muka (157)
  • Individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (103)
  • Tidak patuh arahan kawalan pergerakan (91)
  • Membawa penumpang berlebihan (87)
  • Aktiviti pusat hiburan (32)
  • Premis gagal patuhi arahan (12)
  • Lain-lain (24)

Dalam operasi BENTENG (Op BENTENG) bagi mengawal sempadan negara, pihak berkuasa semalam telah menangkap 10 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas empat buah kenderaan darat serta tiga buah bot/kapal.

Dalam operasi itu, sebanyak 221 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui sembilan aktiviti penglihatan.

Op BENTENG melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 952 Sekatan Jalan Raya (SJR) semalam.

Selain itu, seramai 556 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa di negara ini telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin seluruh negara.

Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 227,362 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 77 hotel dan 10 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 8,045 individu telah dikuarantin dan 216,599 orang dibenarkan pulang, manakala 2,718 lagi dibawa ke hospital.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram