TNB sokong Pelan Pemulihan Negara, pastikan bekalan elektrik di PSV, PPV stabil

Dari Penulis

TENAGA Nasional Berhad (TNB) komited membantu usaha kerajaan menangani kesan krisis pandemik COVID-19 dan akan berterusan memberi sokongan dan kerjasama bagi strategi peralihan keluar yang digariskan di bawah Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Baharin Din berkata, keutamaan TNB terhadap Pelan Pemulihan Negara berfokus kepada empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi.

baharin
Datuk Ir. Baharin Din

Katanya, kesan positif daripada empat aspek tumpuan itu menjangkaui tiga indikator yang disebutkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang berkait dengan kadar penularan wabak COVID-19, keupayaan sistem kesihatan awam dan kejayaan progam vaksinasi negara.

“Sebagai syarikat utiliti elektrik negara, kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV), serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan tersebut dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil.

BERITA BERKAITAN TNB bantu hampir 10,000 asnaf, sumbangan bernilai RM420,000

“Ia bagaimanapun, tidak menjejaskan komitmen kami untuk menyediakan bekalan yang kukuh dan stabil kepada 9 juta pelanggan kami. Pasukan operasi kami kekal terus menjalankan tugas setiap hari meskipun berdepan risiko, didorong matlamat kami untuk memastikan bekalan elektrik kukuh dan stabil bagi menyinari dan menceriakan kehidupan.

“Kami juga aktif mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan TNB mencapai imuniti kelompok dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, selain menawarkan premis-premis kami sebagai pusat pemberian vaksin bagi mempercepatkan kadar pemvaksinan negara,” katanya.

Baharin berkata, usaha-usaha tersebut melengkapi inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus seperti memendekkan waktu operasi Kedai Tenaga dan mengalih transaksi dan pertanyaan dari kaunter ke platform digital.

Tambah beliau, TNB juga terus mengimbangi pengurusan kewangan yang berhemat dan usaha berterusan bagi menambah baik rangkaian bekalan elektriknya dengan peranannya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab melalui pemberian bantuan kepada golongan dari sektor ekonomi yang terkesan, dan membantu rakyat khususnya golongan B40.

Baharin menjelaskan TNB akan memperluaskan lagi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi pelbagai program tanggungjawab sosialnya dan usaha sukarela warga kerjanya termasuk program potongan gaji secara sukarela.

Sejak Januari 2021, TNB telah secara terus memperuntukkan hampir RM9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga yang terjejas akibat pandemik itu dan akan berterusan menghulurkan bantuan di kawasan-kawasan di mana ia beroperasi di seluruh negara.

Tambah beliau, pelan bayaran mudah sedia ada TNB yang memanfaatkan hampir 7 juta pelanggan domestik telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan pemotongan bekalan ditangguh sehingga hujung bulan ini.

Selain itu, katanya, diskaun 10 peratus yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 pelangan dari enam sektor terpilih di bawah pakej PEMERKASA telah dilanjutkan sehingga akhir September.

“Kami juga berperanan penting dalam menyokong pemulihan ekonomi Malaysia dan ini akan menjadi lebih ketara dalam fasa-fasa akhir Pelan Pemulihan Negara. Ia merangkumi pelaburan perbelanjaan modal yang sedang giat dilaksanakan untuk memodenkan dan menambah baik grid nasional.

“Usaha ini disokong oleh program pembangunan vendor dan inisiatif latihan kemahiran semula bagi menyokong pewujudan peluang pekerjaan baharu dalam industri,” katanya.

Sepanjang Tempoh Kawal Selia 2018-2020, TNB telah melabur lebih RM7 bilion dalam program pembangunan vendor yang memberi manfaat kepada ribuan perusahaan kecil dan sederhana.

Satu inisiatif latihan kemahiran semula yang diterajui pusat latihan TNB, ILSAS, diadakan bertujuan memberi latihan kepada lebih 17,500 individu menjelang 2024 bagi menyokong proses peralihan tenaga negara.

“Bagi TNB, peranan kami untuk menyokong pertumbuhan ini bagi tempoh beberapa tahun akan datang sehingga 2024 akan bertumpu kepada memastikan sistem rangkaian bekalan yang kukuh dan selamat; memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dan berubah; serta menyokong proses peralihan tenaga negara, dengan cadangan nilai pelaburan berjumlah RM24 bilion,” tambah Baharin.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

200 penerima STR dapat ganjaran Kempen BSN SSP, BSN GIRO-i 2025

SERAMAI 200 pelanggan Bank Simpanan Nasional (BSN), terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), memenangi pelbagai hadiah menarik dan...

More Articles Like This