NEGARA kerugian RM1 bilion sehari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan pada masa ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menyifatkan keputusan melaksanakan PKP 3.0 bukan sesuatu yang mudah, beliau berkata Malaysia perlu segera keluar daripada krisis COVID-19 demi kesihatan dan kelangsungan hidup semua.
“Saya telah umumkan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan kewangan PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion dengan suntikan fiskal sebanyak RM5 bilion ringgit.
“Saya berharap bantuan daripada kerajaan ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh individu dan perniagaan yang terkesan,” katanya dalam perutusan khas Pelan Pemulihan Negara: Peralihan Fasa PKP secara berperingkat yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini berkata negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari semasa pelaksanaan PKP 1.0, dan berkurangan kepada RM300 juta sehari semasa PKP 2.0 berikutan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi.
BERITA BERKAITAN PM umum fasa peralihan PKP berperingkat, ‘lockdown’ tamat apabila kes harian bawah 4,000
Sementara itu, Muhyiddin berkata, pelaksanaan Perintah PKP Menyeluruh fasa pertama telah membuahkan hasil apabila graf jangkitan kes COVID-19 menunjukkan trend melandai dengan mencatatkan sebanyak 4,949 kes semalam.
Perdana Menteri berkata, susulan langkah berkenaan, sistem kesihatan negara masih lagi mampu menampung kes baharu COVID-19 di samping telah mencatatkan kadar sembuh yang tinggi dalam kalangan pesakit.
“Ini menunjukkan tindakan yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil. Kita telah mengelakkan bencana,” katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan juga bersedia untuk menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua PKP setelah purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes.
Selain itu, peralihan juga turut mengambil kira tahap sistem kesihatan awam yang tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) pulih ke paras sederhana.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

