MENDAFTAR masuk ke premis sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau pun bertulis secara manual telah pun menjadi amalan rutin sejak penularan COVID-19.
Jika tidak melakukannya ibarat ada benda yang tidak kena, sama seperti sekiranya tidak memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.
Namun begitu, ada juga segelintir golongan seolah-olah tidak mengambil ‘pusing’ dengan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) itu.
Akibatnya, dua kesalahan tertinggi yang direkodkan semalam adalah melibatkan kegagalan merekod butiran diri dan juga tidak memakai pelitup muka.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 162 individu telah dikesan tidak merekod butiran diri atau mendaftar masuk ke premis manakala 138 lagi ditahan tidak memakai pelitup muka.
Secara keseluruhan, kata beliau, seramai 764 individu telah ditahan atas kesalahan ingkat SOP dengan 722 dikenakan kompaun manakala 42 individu lagi telah direman.
Selain kesalahan tertinggi itu, beliau memaklumkan, seramai 100 individu ditahan kerana ‘mencuba nasib’ merentas negeri/daerah atau makan di premis.
Baca artikel berkaitan: PKPD di Terengganu, 4 lokaliti di Sabah tamat ikut jadual
“Seramai 94 individu ditahan akibat tidak menjaga penjarakan fizikal; 91 tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan; 78 membawa penumpang berlebihan; tujuh premis gagal patuhi arahan dan 94 lagi atas lain-lain kesalahan.
“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 94,707 pemeriksaan semalam.
“Ia melibatkan 4,461 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 20,204 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan Operasi Benteng (Op Benteng) semalam telah menangkap 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua buah kenderaan darat serta empat buah bot atau kapal.
Kata beliau, sebanyak 227 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui tiga aktiviti penglihatan dalam operasi itu.
“Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamtan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamtan lain turut menjalankan 957 sekatan jalan raya (SJR) semalm.
“Ia membabitkan 903 Op Penawar iaitu kerjasama ATM, PDRM dan Rela; 45 SJR Op Benteng PDRM dan sembilan Op Benteng Aksem,” jelas beliau.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

