Definisi anak yatim menurut ulama adalah gelaran yang diberikan kepada kanak-kanak belum mencapai usia baligh, yang telah kematian bapa, begitu kata Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar pensyarah dari Jabatan Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memulakan bicara.
Para ulama juga sepakat menyatakan, hanya kanak-kanak yang kematian bapa sahaja layak menyandang gelaran anak yatim. Ini kerana bapa adalah merupakan orang yang mempunyai peranan yang cukup besar, dan diberi tanggungjawab berat menjaga keperluan anak dari pelbagai sudut, terutama makan minum dan tempat tinggal.
Namun bagi masyarakat Melayu pula, anak yatim ditakrifkan dengan anak yang kematian ibu atau bapa. Akan tetapi jika kedua-duanya turut meninggal dunia, maka istilah yang digunakan adalah anak yatim piatu.
Walau bagaimanapun jika anak yang lahir hasil dari hubungan yang tidak sah, ia tidak pula dinamakan anak yatim sekalipun tiada berbapa. Hanya anak yang lahir dari hubungan yang halal, dan kemudian bapanya meninggal dunia, sama ada sebelum atau selepas anak tersebut dilahirkan, itu yang digelar anak yatim.
Penggunaan istilah anak yatim hanya termansuh apabila sampai usianya baligh dan mampu untuk berdikari, dan itu yang disepakati oleh ulama. Ini bermakna apabila dia mampu berdikari tetapi belum mencapai usia baligh, gelaran anak yatim tetap menjadi miliknya yang mutlak.
Manakala jika si ibu berkahwin lagi selepas kematian bapa, istilah anak yatim tidak akan gugur sekalipun dia memiliki bapa baru.
Ini kerana di dalam istilah Arab, lelaki yang mengahwini ibunya dinamakan “zauju al um” iaitu suami bagi ibu, bukan dimaknakan dengan bapa tiri. Ini menjelaskan lagi, lelaki tersebut tidak mempunyai kaitan dengannya.
Maka gelaran anak yatim termaktub untuknya, selagi mana dia belum baligh sekalipun mempunyai bapa tiri.
Hanya sedekah bukan zakat
Jika kita lihat dewasa ini, sudah menjadi trend dalam masyakat Islam di Malaysia, apabila tibanya bulan Ramadan, maka ramai yang akan berlumba-lumba untuk membantu anak yatim, bahkan hingga ke satu tahap, ada yang beranggapan anak yatim adalah golongan yang wajib dibantu, dan merupakan asnaf zakat.
Dengan itu, maka ada juga yang hanya memberikan zakat terus kepada anak yatim, tanpa melalui amil yang dilantik.
Dalam hal ini, Dr. Wifaq menjelaskan, golongan anak yatim bukanlah termasuk dalam asnaf yang wajib menerima zakat, tetapi golongan yang berhak menerima sedekah. Di sini ulama turut menghadkan bantuan sedekah kepada anak yatim, sehingga mereka mencapai usia baligh dan boleh berdikari

Hanya jika anak yatim tersebut miskin, fakir, berhutang atau hamba, yang selayaknya untuk menerima bantuan zakat. Bagi anak yatim yang mempunyai harta, maka mereka golongan yang dikecualikan untuk menerima zakat.
Makan harta anak yatim?
Boleh memakan harta anak yatim dengan syarat, ia telah menguruskan harta anak tersebut dan dia adalah seorang yang miskin. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah r.ha yang menyatakan mengenai firman Allah surah an-Nisa: 6,
“Barang siapa (di antara pemelihara itu yang mampu) maka hendaklah dia menahan diri dari memakan harta anak yatim) dan barang siapa yang miskin, maka bolehlah dia memakan harta itu menurut yang patut.“
Aisyah berkata lagi, “Diturunkan ayat ini berkenaan dengan wali anak yatim, ia boleh menggunakan dari wangnya bila memerlukan, kerana ia menguruskan dengan cara yang patut.”
Begitu juga dengan firman Allah dalam surah al-An’am: 152,
“Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya, sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri) dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil.“
Katanya lagi, meraikan dan menjaga hak anak yatim adalah satu perkara yang amat dititikberatkan dalam Islam. Ini dijelaskan dalam surah al-Maaun: 1 dan 2,
“Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim.”
Hakikatnya anak yatim adalah golongan yang lemah, dan sangat memerlukan kepada bantuan, sama ada dari sudut material mahupun belaian kasih sayang. Mereka ini sebenarnya menghadapi masalah psikologi, kerana kehilangan orang yang tersayang.
Apatah lagi apabila melihat rakan sebaya yang mempunyai ibu dan bapa, sebagai tempat bermanja, maka mereka rasa kekurangan dan terasing. Oleh kerana itulah Allah S.W.T. memberikan banyak kelebihan, kepada orang membantu dan berbuat baik kepada anak yatim.
Dan Allah juga memberikan balasan seksa yang amat dahsyat, bagi mereka yang menganiaya anak yatim. Wallahu a’lam

