SEBATANG jalan yang terletak di Onondaga di New York, Amerika, asalnya dikenali sebagai Cedarvale Road. Namun, nama itu tenggelam apabila jalan itu lebih dikenali dengan nama ‘13 Curves Road’ kerana terdapat 13 selekoh tajam di sepanjang jalan tersebut.
Bukan hanya 13 selekoh tajam, namun ada peristiwa lain yang turut membuat jalan itu jadi lebih terkenal. Apa kisahnya?

Legenda tempatan di situ menceritakan, sekitar lebih seabad yang lalu, sepasang pengantin menaiki kenderaan buggy berkuda melalui jalan tersebut pada malam perkahwinan mereka.
Kerana kesukaran mengawal langkah kuda mereka sewaktu melalui salah satu selekoh tajam, kedua-dua pengantin tercampak dari tempat duduk mereka yang terbuka. Pasangan itu jatuh ke lereng bukit. Ada juga versi yang mengatakan mereka terjatuh ke dalam sungai, patah leher dan meninggal dunia.
Menjelang abad ke-20, sekitar tahun 1940-an, cerita legenda itu mula berubah dari menaiki buggy berkuda kepada versi menaiki kereta. Namun, jalan ceritanya masih sama. Kedua-dua pengantin terbabas di salah satu selekoh dan mati di tempat kejadian.
Ada juga yang mengatakan pengantin perempuan terselamat namun apabila dia meninggal dunia beberapa tahun kemudian, dia kembali untuk mengganggu sesiapa sahaja yang melalui selekoh yang telah membunuh suaminya. Kesahihannya tidak dapat dipastikan.

Namun, pelbagai peristiwa aneh yang dialami pengguna jalan ini terutama pada waktu malam dikaitkan dengan kisah pasangan pengantin itu.
Seorang penduduk tempatan mendakwa pernah ternampak seorang wanita berkeliaran dengan memegang tanglung. Jika ada pemandu yang ‘bertuah’, tiba-tiba saja ada penumpang misteri yang berada di tempat duduk belakang ketika melalui jalan ini. Wajahnya mengerikan. Mereka menggelarnya sebagai ‘Bloody Bride’ atau pengantin berdarah.

Ada juga pemandu menceritakan terlihat seorang perempuan yang memakai gaun pengantin sedang berjalan di selekoh tajam itu. Wajahnya nampak seperti terbakar dan berdarah.
Seorang saksi pula memberitahu, ketika melintasi selekoh keenam, dari kejauhan dia terlihat cahaya putih yang menyerupai ketinggian seorang wanita. Di bahagian kepala, ada cahaya kemerahan terpancar.
Cahaya itu apabila didekati tetap kabur dan tidak menunjukkan susuk tubuh yang jelas. Namun, penduduk setempat percaya, itulah Bloody Bride. Hantu pengantin wanita yang sering menyebabkan kemalangan berlaku di jalan itu.

____________
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

