Makhluk apa yang menghuni Jalan Jentayu?

Dari Penulis

KISAH seram memang dianggap kisah mengarut bagi sesetengah orang. Tapi bagi saya, gangguan jin ini memang wujud. Saya sendiri pernah mengalami kejadian seram disakat makhluk sebegini.

Beberapa tahun lalu lebih kurang pukul 12.00 malam, saya sekeluarga dari rumah ibu di Kampung Bukit Jambul, Pendang bergerak pulang ke rumah kami yang terletak di Taman Mesra Ria Fasa 1.

Untuk pulang ke rumah, kami perlu melalui jalan Jentayu yang terletak di pendalaman daerah Kuala Muda Yan. Jalan Jentayu merupakan laluan yang menghubungkan ke jalan utama untuk ke Jeniang. 

Ketika sampai di Jalan Jentayu, suasana sunyi sepi dan gelap gelita. Kiri kanannya hanya dikelilingi kebun getah, ladang sawit dan semak samun.

Jalan itu pun tidak sesibuk jalan raya di bandar Kedah. Maklumlah ia hanya jalan kampung. Hanya sebuah dua kenderaan saja melalui jalan itu dan berselisih dengan kami di waktu lewat malam begitu.

Tidak banyak kereta melalui Jalan Jentayu pada waktu lewat malam.

Sebelum bergerak pulang, ibu sudah berpesan agar saya pulang awal sebab saya turut bawa anak yang masih kecil. Saya tak endahkan sangat pesanan ibu. Apa hendak ditakutkan. Selama ini kami selalu balik lewat juga. Sudah banyak kali dan tiada apa pun yang berlaku.

Namun, malam itu sudah nasib saya akan ‘terkena’. Semasa sampai di Jalan Jentayu, saya lihat jam pada dashbord kereta yang dipandu suami. Sudah hampir pukul 2.00 pagi.

Saya pula sedang cuba menahan mata daripada tertidur. Kalau tidak, kesian pula suami memandu seorang diri tanpa teman. Untuk menghilangkan bosan, saya berbual-bual dengannya.

Dua orang anak kami, seorang lelaki dan seorang perempuan pula, sedang enak dibuai mimpi di kerusi belakang.

Sedang leka berbual, tiba-tiba suami bersuara.

“Apa benda ni, macam terlanggar ular sawa yang besar je,” kata suami.

Saya pun terasa juga. Kereta kancil kami bergoyang seperti membelah sesuatu yang terbentang di tengah jalan. Suami lantas memberhentikan kereta di tepi jalan. Dia menurunkan cermin dan memandang ke belakang. Melalui samar-samar cahaya lampu brek, suami memerhati sekitar.

“Tak ada apa pun,” kata suami.

Kami meneruskan perjalanan dan selamat sampai ke rumah. Mata mengantuk dan letih, terus kami labuhkan badan atas katil untuk tidur. Tetapi, saya tak boleh tidur. Anak bongsu asyik merengek hingga saya terpaksa mendodoikannya.

Dalam keadaan menahan mengantuk itu, tiba-tiba mata saya terpaku. Antara percaya dengan tidak, saya nampak kelibat lembaga hitam melintasi tingkap, bergerak ke kiri kanan, bagaikan seorang pencuri mencari ruang untuk menyelusup masuk ke dalam rumah.

Saya diamkan diri dan terus memerhati. Tapi kurang seminit kemudian, sekali lagi saya terkejut. Kali ini bagaikan mimpi ngeri. Jelas di mata saya, sehelai kain kapan berwarna putih melayang di bawah pintu,berpintal-pintal seperti tali yang panjang menerjah masuk ke dalam rumah dan terus membelit tengkuk anak sulung yang berusia enam tahun, yang tidur di bawah tak jauh dari saya.

Waktu itu, seluruh tubuh saya menggeletar. Bulu roma meremang dan terpacak. Saya jadi kaku, tidak mampu berbuat apa-apa.

Saya kuatkan semangat, beranikan diri. Jika tidak, sesuatu yang buruk boleh menimpa anak saya. Bertambah panik apabila melihat muka anak saya semakin pucat seolah-olah tiada darah mengalir.

Mungkin disebabkan keadaan anak, tiba-tiba saja perasan berani muncul. Yang penting adalah keselamatan anak lelaki saya itu. Waktu itu mahu saja saya menarik kain kapan itu keluar daripada tengkuk anak.

Dalam keadaan cemas itu, saya bertempik. “Abang, cepat bangun! Anak kita dah jadi mayat!!!!” tempik saya dengan suara bak halilintar.

Suami yang terkejut sebab saya bertempik, terus bangun dan bertempik, Allahuakbar!

Serta-merta juga saya lihat kain kapan yang melilit leher tadi terungkai dan melayang laju keluar melalui bawah pintu seperti mana sewaktu masuk tadi.

Saya masih menggeletar sambil memangku anak bongsu. Suami pula terus mendapatkan anak sulung. Mulut suami tidak henti membaca ayat-ayat al-Quran sambil tangannya mengusap-usap kepala anak kami.

Alhamdulillah, selepas itu anak saya kembali sedar. Lewat pagi itu, saya menangis sambil berpelukan antara satu sama lain. Mujurlah saya belum tidur. Kalau tidak entah bagaimana nasib anak saya itu. Hati saya kuat mengatakan apa yang berlaku ada kaitan dengan apa yang dilanggar suami di Jalan Jentayu itu.  

Esoknya bila saya masuk ke pejabat, apa yang menimpa keluarga kami, saya ceritakan kepada rakan-rakan sekerja. Ada yang mengatakan memang jalan yang kami lalui itu ‘keras’. Sudah ramai pengguna yang disakat apabila melalui jalan tersebut.

Tapi ada juga yang tak percaya dengan cerita saya. Katanya saya ini mengarut.

“Mana ada, kami dah lama lalu tak ada apa pun,” ujar salah seorang rakan saya itu. Saya diam sahaja tanpa membalas. Malas saya hendak bercerita kalau orang tidak percaya.

Tidak lama kemudian, saya mendengar cerita salah seorang pekerja di bangunan tempat saya bertugas turut mengalami kejadian sama. Menurut ceritanya,  kereta yang dinaiki mereka sekeluarga terlanggar ranting kayu yang besar.

Padahal semasa memandu, tak kelihatan pun sebarang objek di atas jalan. Selepas terlanggar, suaminya turun untuk memantau keadaan di bawah kereta. Tapi apabila rakan saya teringat kejadian yang menimpa saya, cepat-cepat dia mengajak suaminya beredar. Katanya kejadian itu berlaku awal lagi, sekitar pukul 9.00 malam.

Tapi paling membuatkan saya hendak tergelak apabila mengetahui rakan sekerja yang sebelum ini tidak percaya dengan cerita saya turut disakat ketika melalui jalan Jentayu.

Lebih kurang pukul 6.00 pagi, kereta yang dipandu rakan saya itu pecah gear box akibat terlanggar anjing hitam. Tapi bila anaknya keluar kereta menjenguk ke bawah dan mencari di kawasan sekitar, tak ada pun bangkai anjing yang dilanggarnya.

Jadi apa yang dilanggarnya itu? Rakan saya tidak tahu dan saya sendiri tidak tahu. Makhluk apakah yang menghuni di jalan Jentayu?

Sejak kejadian itu juga, saya tidak lagi berani balik di tengah malam, apatah lagi apabila terpaksa melalui jalan Jentayu.

*Kiriman : Salmah Ahmad, Kedah

___________________

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This